Royalti minyak: PAN dedah sikap sebenar, khianat

Terengganu

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kenyataan rasmi PAN Terengganu yang mengisytiharkan bahawa royalti minyak bukan hak mutlak negeri itu telah mendedahkan wajah sebenar parti tersebut.

- Advertisement -

ADUN Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi berkata, pengakuan Pengarah Komunikasi PAN Terengganu, Muammar Qaddafi Mohd Nasir, langsung tidak mengejutkannya.

“Saya mengucapkan terima kasih kepadanya kerana berani mendedahkan ‘wajah sebenar’ PAN dalam isu ini. Kini, rakyat Terengganu berpeluang untuk melihat dengan jelas.

“(Iaitu) sikap sebenar mereka (PAN) terhadap hak yang telah lama dinikmati oleh rakyat negeri ini, berdasarkan Akta Kemajuan Petroleum 1974 dan Perjanjian 1975 antara kerajaan negeri dan PETRONAS.

“Ingatkah kita, ketika PAN menjadi pembangkang, mereka tanpa henti mendesak Umno supaya mengembalikan royalti yang merupakan hak Terengganu ke bumi Darul Iman.

“Mereka juga berjanji untuk menaikkan kadar bayaran royalti minyak daripada lima peratus kepada 20 peratus, sebuah janji yang telah hilang begitu sahaja selepas mereka berkuasa. Ketika itu, cacian dan penghinaan tidak berhenti-henti dilemparkan kepada parti tidak senada dengan mereka.

“Namun, setelah mereka berada di tampuk kuasa, royalti yang dulunya mereka canangkan sebagai hak mutlak Terengganu kini dipertikaikan, malah dikatakan bukan lagi hak negeri ini.

“Inilah wajah sebenar mereka tidak konsisten, penuh kepalsuan, dan akhirnya mengkhianati perjuangan yang pernah mereka suarakan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Fakhruddin yakin bahawa rakyat Terengganu bijak menilai dan pasti akan terus menolak PAN dalam Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang.

“Mereka inilah pengkhianat yang telah mengkhianati rakyat Terengganu dan perjanjian yang telah dimeterai dengan PETRONAS dahulu,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/11/2024

- Advertisement -