‘Kit Siang dulu tak pula dilarang’ – Wan Ahmad Fayhsal

Wan Ahmad Fayhsal dan Johari Abdul.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mempersoalkan tindakan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul yang tidak membenarkan beliau untuk berada di dalam Dewan Rakyat mahupun Galeri Awam Parlimen.

Beliau berkata, bahawa Tan Sri Johari Abdul tiada hak untuk menghalang dirinya daripada Galeri Awam ataupun tempat pegawai bertugas.

- Advertisement -

“Peraturan Mesyuarat yang mana jelaskan hal tersebut? Tuan Yang di-Pertua Dewan tidak boleh halang pergerakan bebas mana-mana individu yang ada kebenaran masuk ke blok utama dan apatah lagi Ahli Parlimen yang sah dipilih oleh rakyat.

“Bukankah saya sudah dihalang dari duduk di kerusi Ahli Parlimen dan halang dari saya mengambil bahagian dalam perbahasan sudah mencukupi. 

“Kenapa nak halang pergerakan bebas saya pula?” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya.

Tambah Wan Ahmad Fayhsal, sebagai Ahli Parlimen yang dipilih, beliau berhak untuk tahu apa yang dibincangkan oleh ahli-ahli Dewan yang lain.

“Duduk di galeri awam bukan boleh bercakap pun. Kalau dia kata suruh tengok televisyen, apa masalahnya kalau saya pergi menonton dan mendengar sidang di Galeri Awam dan tempat pegawai. Apa beza? Saya tetap tidak boleh bercakap,” ujarnya.

Beliau dalam pada itu turut menyentuh situasi yang berlaku pada Mac 2018, yang mana Ahli Parlimen Gelang Patah waktu itu, Lim Kit Siang yang turut digantung selama enam bulan namun dibenarkan untuk berada di dalam Dewan dan Galeri Awam.

“Tetapi beliau tidak pula dilarang duduk di Galeri Awam dan tempat pegawai bertugas? Malah Kit Siang dibiarkan duduk dalam Dewan Rakyat, hadir dalam Majlis tanpa diberi ruang bercakap. 

“Kenapa reformasi Parlimen Madani jauh lebih zalim berbanding Parlimen zaman Dato’ Seri Najib Razak memerintah? 

“Inikah makna sebenar Reformasi yang Pakatan Harapan ingin bawa?” katanya. 

Terrdahulu, Johari dalam suratnya kepada Wan Ahmad Fayhsal bertarikh 15 Oktober 2024 tidak membenarkan Ahli Parlimen Machang itu untuk berada di Dewan Rakyat termasuk Galeri Awam dan tempat pegawai bertugas.

Namun, beliau masih dibenarkan untuk berada dalam perkarangan Kompleks Parlimen dan mengikuti persidangan Dewan Rakyat melalui siaran langsung yang dipaparkan. – HARAKAHDAILY 22/10/2024

- Advertisement -