
HAMAS menolak syarat baharu Israel yang dikemukakan dalam rundingan gencatan senjata Gaza di ibu negara Mesir, Kaherah pada minggu lalu.
Delegasi Hamas menuntut agar Israel akur dengan apa yang telah dipersetujui pada 2 Julai lalu, selaras dengan rancangan yang ditetapkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden dan resolusi Majlis Keselamatan PBB.
Pada Julai lalu, Hamas menerima cadangan AS untuk memulakan perbincangan mengenai pembebasan tebusan Israel termasuk tentera dalam tempoh 16 hari selepas fasa pertama perjanjian yang bertujuan menamatkan perang di Gaza.
Hamas bersedia merealisasikan rancangan itu demi mencapai kepentingan rakyat Palestin dan menghentikan kemusnahan di Gaza sambil menekankan keperluan untuk sebarang perjanjian perlu memasukkan gencatan senjata kekal, pengunduran sepenuhnya Israel dari Gaza, kebebasan bagi penduduk Gaza untuk pulang ke rumah mereka, kemasukan bantuan, pembinaan semula dan perjanjian pertukaran tawanan.
Namun, Israel enggan mengundurkan tentera dari Koridor Philadelphi, iaitu kawasan padat sepanjang 14.5 kilometer di sepanjang sempadan selatan Gaza dengan Mesir dan Koridor Netzarim sedangkan itulah kunci penting dalam rundingan yang diketengahkan oleh AS, Mesir dan Qatar.
Ini dipercayai kerana dakwaan Israel mengatakan kawasan yang dimaksudkan itu berisiko menjadi tempat penyeludupan senjata dan membahayakan kedudukan mereka jika tentera mereka berundur dari situ.
Bahkan, Israel mengemukakan syarat baharu, termasuk melakukan pemeriksaan terhadap penduduk Palestin yang dipindahkan ketika mereka kembali ke kawasan utara yang lebih padat apabila gencatan senjata bermula.
Antara lain, Israel menyatakan keberatan membebaskan beberapa tahanan Palestin yang dituntut Hamas sedangkan ia menjadi timbal balas untuk baki tebusan warga Israel dibebaskan oleh Hamas.
Tindakan Israel itu mengaburkan peluang untuk menjayakan usaha terbaharu rundingan yang disokong AS bagi menamatkan perang yang berlanjutan selama 10 bulan itu. Sumber dari negara perantara Mesir memberitahu bahawa rundingan itu berakhir tanpa persetujuan dari Hamas mahu pun Israel.
Delegasi Hamas meninggalkan Kaherah pada 25 Ogos lalu selepas pertemuan dengan negara perantara dan menerima maklumat terkini mengenai syarat baharu Israel.
Menurut Ketua Biro Perhubungan Hamas, Usamah Hamdan, “Kami tidak akan menerima perbincangan mengenai penarikan balik daripada apa yang kami setujui pada 2 Julai atau sebarang syarat baharu.” Usamah turut menafikan kenyataan AS mengenai perjanjian yang akan berlaku. – HARAKAHDAILY 31/8/2024




















