PAS mesti perkasakan kedudukan di Sabah

- Advertisement -

KOTA KINABALU: Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, parti itu mesti memperkasakan kedudukan di Sabah.

Ini, ujarnya kerana untuk memerintah Kerajaan Pusat memerlukan kemenangan kerusi Parlimen di Sabah.

Beliau menyatakan demikian kerika merasmikan Konvensyen PAS Sabah, di sini hari ini. Turut berucap ialah Pesuruhjaya PAS negeri, Dr Aliakbar Gulasan.

- Advertisement -

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Tan Sri Annuar Musa membentangkan kertas kerja pada konvesyen itu.

Tuan Guru juga melihat masa depan parti itu di Sabah sangat baik kerana ramai yang hadir pada konvensyen itu adalah dalam kalangan anak muda.

Menurutnya, perkembangan yang berlaku sebelum ini menunjukkan perubahan yang sangat menarik.

Beliau berkata, pada pilihan raya umum yang lepas menunjukkan ramai kalangan Umno dan anak muda memberikan undi kepada PAS sehinggakan dapat memerintah di empat buah negeri.

Namun begitu, ujarnya untuk memerintah Kerajaan Pusat memerlukan PAS menang di Sabah.

“PAS mesti memperkasakan kedudukan di Sabah. Bagi melaksanakan perkara ini maka kita mesti menang di Sabah atau ada kerusi yang kita menangi.

“Sama ada kerusi kita atau kita ajak kawan-kawan parti lain yang bergabung bersama-sama dengan kita untuk menubuhkan kerajaan demi memerdekakan negara kita sepenuhnya tanpa bergantung dengan makhluk asing.

“Kita ada peluang lima tahun sekali bagi memilih kerajaan. Beri peluang kepada PAS untuk memimpin kerajaan.

“Kita mengharapkan perubahan yang telah berlaku kepada anak muda yang merupakan perubahan yang positif kepada Sabah,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Marang. – HARAKAHDAILY 31/8/2024

- Advertisement -