Tak wajar heret MB Kedah dalam Dewan Rakyat

Wan Ahmad Fayhsal
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tidak wajar untuk mengheret Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor ke Dewan Rakyat mengenai isu sistem pendidikan negara dipolitikkan dengan semangat kepartian.

Ketua Armada Bersatu Malaysia, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, akhbar Sinar Harian sebelum ini melaporkan bahawa ahli Parlimen Sungai Petani, Mohammed Taufiq Johari telah mencabar Menteri Besar Kedah tersebut untuk berdebat tentang perkara itu dalam Dewan Rakyat.

“Mengapa perlu mengheret Dato’ Seri Sanusi ke Dewan Rakyat sedangkan beliau sendiri pun bukannya ahli Dewan Rakyat?

- Advertisement -

“Lebih baik ahli Parlimen Sungai Petani meminta Yang Dipertua Speaker Dewan Rakyat untuk meluluskan usul tarik balik penggantungan saya untuk kita berentap dalam isu yang dibangkitkan oleh Dewan Undangan Negeri Kedah ini,” katanya dalam akaun media sosial Facebooknya semalam.

Menurut beliau, isu mempolitikkan sistem pendidikan negara dengan semangat kepartian sememangnya benar-benar berlaku di negeri Kedah.

Tambah beliau, perkara tersebut juga berlaku di semua kawasan yang ditadbir oleh parti pembangkang itu sendiri.

“Apabila perkara sebegini asyik berlaku, akhirnya yang rugi adalah warga pendidik dan golongan pelajar.

“Kalau kerajaan benar-benar jujur dan ikhlas mahu memajukan sistem pebdidikan negara, maka perlulah libatkan kami semua dengan cara adil,” ujarnya.

Sehubungan itu, Fayhsal menyatakan kerajaan tidak seharusnya menggunakan kaedah ‘little Napoleon’ di Jabatan Pendidikan Negeri dan Daerah untuk menggertak serta menghalang guru, pelajar dan ibu bapa serta usaha parti pembangkang dalam membantu mendidik anak bangsa di kawasan pentadbiran mereka.

Kata beliau lagi, kawasan yang ditadbir oleh parti pembangkang sendiri adalah hasil kemenangan yang sah dipilih oleh penduduknya sendiri.

“Maka, sekali lagi saya menegaskan di sini iaitu jangan politikkan lagi sistem pendidikan negara dengan semangat kepartian,” katanya.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan kerajaan negeri Kedah kecewa dengan wujudnya politik kepartian dalam sektor pendidikan.

Menurut Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi,  kepimpinan negeri ini dihalang daripada memasuki kawasan sekolah mahupun menjalin kerjasama dalam program berkaitan pendidikan. – HARAKAHDAILY 30/8/2024

- Advertisement -