Laporan polis terhadap Zahid berhubung isu SD

Ahmad Zahin dalam sidang media di Kuala Lumpur pada hari ini, 30 Ogos 2024. (FOTO: HARAKAHDAILY/Ikmal Emir)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Satu laporan polis dibuat terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung perbuatannya yang didakwa mengelirukan Yang Di-Pertuan Agong sebelum ini.

Pengarah Pilihan Raya Pemuda Perikatan Nasional (PN), Akmal Zahin Zainal berkata, Zahid telah menghantar sepucuk surat kepada Yang Dipertuan Agong ketika itu (Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) mengenai semua 30 akuan berkanun (SD) ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang dikatakan memberikan sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Ke-10 Malaysia.

- Advertisement -

“Saya tidak pasti bila perbuatan tersebut berlaku tetapi ia dijangkakan berlaku antara 21 hingga 23 November 2022 yang lalu iaitu selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Namun begitu, berdasarkan laporan berita pada 23 November 2022 yang lalu juga Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon dan Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran mendakwa tindakan beliau tidak bersandarkan kepada ketetapan Dewan Tertinggi BN,” katanya.

Menurut beliau lagi, pada ketika itu Dewan Tertinggi BN kekal dengan pendirian berkecuali dan tidak menyokong mana-mana pihak pada waktu tersebut.

“Apa yang berlaku dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN malam tadi ialah MCA dan lain-lain parti komponen BN mempersoalkan tindakan Datuk Seri  Zahid yang dilihat jelas bercanggah dengan apa yang diputuskan Dewan Tertinggi BN.

“Pada mulanya beliau cuba menafikan mengenai surat tersebut tetapi akhirnya mengakuinya selepas seorang daripada anggota Dewan Tertinggi BN mengemukakan bukti sahih yang mana perkara tersebut dinyatakan oleh Datuk Chong.

“Isu tersebut juga dilaporkan dalam siaran media MalaysiaKini yang mana Zahid mengakui telah menghantar surat kepada Istana Negara selepas sepuluh Ahli Parlimen BN menarik balik sokongan mereka kepada PN dan kekal neutral,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di hadapan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Polis Dang Wangi, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Setiausaha Kerja Armada Bersatu Malaysia, Meor Naqiuddin Shamsudin.

Sehubungan itu, Zahin menyatakan laporan berita tersebut jelas membuktikan bahawa TPM1 telah menipu dan mengelirukan Yang Dipertuan Agong ketika itu.

Kata beliau lagi, kesalahan tersebut merupakan sesuatu yang serius dan jelas menunjukkan penderhakaan terhadap Yang Dipertuan Agong serta pengkhianatan terhadap Perlembagaan Persekutuan negara ini.

“Maka, pada hari ini saya membuat laporan polis mengenai perkara ini yang mana kesalahan tersebut adalah di bawah Seksyen 124 Kanun Keseksaan (Akta 574).

“Saya berharap agar pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat mengenai perkara ini memandangkan jenayah sebegini adalah jelas bersifat serius,” katanya.

Terdahulu, MalaysiaKini melaporkan pada 21 Ogos lalu Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau telah menyerahkan 115 SD yang menyokongnya kepada polis untuk siasatan.

Beliau juga menyerahkan surat akuan penerimaan SD berkenaan daripada setiausaha sulit kepada Al-Sultan Abdullah.

SD itu dikatakan dikumpul sejurus selepas PRU15, yang berakhir dengan Parlimen tergantung.

Sehari kemudian, Zahid yang juga merupakan Presiden Umno tampil menjelaskan 10 SD daripada ahli Parlimen BN itu sebagai tidak sah. – HARAKAHDAILY 30/8/2024

- Advertisement -