PAS harus bertanding di PRK Nenggiri 

Nuridah Mohd Salleh
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) bertekad mengembalikan kepercayaan rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri kepada calon PAS setelah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tersebut, Mohd Azizi Abu Naim telah hilang keahlian parti Bersatu.

Ketua DMPM, Nuridah Mohd Salleh berkata, warga Nenggiri sudah tentu kecewa angkara pengkhianatan bekas ADUN tersebut yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada 7 November lalu.

- Advertisement -

“Kekecewaan ini juga bukan sahaja berkait dengan ADUN tersebut, namun turut dikaitkan dengan enam lagi Ahli Parlimen dan seorang ADUN Bersatu yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) tetapi akhirnya menyokong kerajaan.

Umum mengetahui bahawa terdapat 90 peratus jentera di DUN Nenggiri terdiri daripada orang PAS. Bertanding semula juga adalah cara bagi mengubati kekecewaan penyokong dan jentera yang telah bertungkus lumus ketika pilihan raya lalu. 

“Sesungguhnya rakyat Nenggiri harus diyakinkan dan calon yang dipilih adalah calon yang tetap pendirian dan tidak mengulangi kesilapan yang telah berlaku,” katanya menerusi kenyataan, hari ini. 

Justeru, Nuridah mengharapkan supaya calon Nenggiri adalah daripada PAS.

“Perkara ini bukan sahaja menunjukkan keterbukaan Bersatu untuk menerima perkara ini sebagai cara mengangkat nilai persahabatan dan kekitaan dalam PN, bahkan ia adalah jalan memastikan kerusi Nenggiri tidak jatuh ke tangan parti lawan,” jelas Nuridah.

Media tempatan baru-baru ini melaporkan kenyataan Mohd Azizi yang tidak akan bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri yang akan diadakan Ogos ini.

Menurut Mohd Azizi, tindakan itu bagi memberi laluan kepada rakan-rakan seperjuangan dalam gabungan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN) untuk bertanding di kerusi yang disandangnya.

Terdahulu, pada 19 Jun lalu, Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengumumkan kerusi DUN Nenggiri kosong bermula dari tarikh berkenaan setelah menerima notis bertulis mengikut Fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan mengenai keahlian Mohd Azizi pada 13 Jun lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon dan pengundian awal PRK berkenaan masing-masing pada 3 Ogos dan 13 Ogos manakala hari pengundian pada 17 Ogos.

Pada Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15) Mohd Azizi yang bertanding menggunakan logo PAS menewaskan Ab Aziz Yusoff dengan majoriti 810 undi.

PRK Nenggiri akan diadakan pada 17 Ogos ini, dengan hari penamaan calon ditetapkan pada 3 Ogos dan pengundian awal menjelang 13 Ogos. – HARAKAHDAILY 8/7/2024

- Advertisement -