Andalusia anjur forum tingkatkan motivasi agensi, ejen umrah

Ida Riswana (kiri) dalam majiis sempena Forum Bangkit Usahawan Umrah di Kuala Lumpur pada hari ini, 21 Mei 2024. (FOTO: HARAKAHDAILY/Muhammad Zharif Zulkiflee)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Seramai 444 peserta yang terdiri daripada agensi dan ejen umrah tempatan serta dari Brunei dan Indonesia menghadiri forum Bangkit Usahawan Umrah anjuran Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. (Andalusia), di sini, hari ini.

Pengarah Merangkap Penasihat Undang-Undang Andalusia, Ida Riswana Idris berkata, banyak syarikat umrah yang tidak berjaya meneruskan semula perniagaan selepas pandemik Covid-19, maka forum tersebut diadakan dengan matlamat untuk membantu mereka.

- Advertisement -

“Masalah sebegini bukan semata-mata daripada kekangan modal tetapi juga disebabkan oleh penangan digital yang melahirkan ramai pesaing yang sah dan juga tak sah yang menjadikan persaingan industri ini semakin sengit,” katanya.

Menurut beliau, Andalusia telah berjaya mengambil peluang daripada krisis sebegitu yang menjadikan syarikat ini kini semakin dikenali ramai.

Tambahnya, hanya sebahagian syarikat umrah yang berjaya mengambil peluang sebegitu manakala selebihnya menghadapi keadaan sebaliknya.

“Ramai juga yang terperangkap dengan ilmu perniagaan pra-Covid-19 yang semakin kurang relevan kini, buntu idea, lemah semangat dan 1,001 lagi isu termasuk scam (penipuan umrah) sehingga ada syarikat yang tutup atau yang hidup pun segan, mati pun tak mahu.

“Saya merasakan ini adalah tidak adil buat sahabat-sahabat saya semua sebab dari dulu, kita adalah rakan seperjuangan.

“Tambahan pula, ramai sahabat yang menyertai kelas-kelas USEC dan melalui engagement di dalam kelas-kelas tersebut, saya tahu ramai yang memohon saya membantu dalam perjuangan supaya mereka boleh bangkit semula,” katanya.

Forum tersebut yang berlangsung dari pukul 8.30 pagi hingga 5 petang itu menampilkan dua penceramah iaitu Pengasas dan Pengerusi Richworks International Sdn. Bhd. (Richworks), Datuk Wira Dr. Azizan Osman dan Ketua Pegawai Eksekutif Momentum Digital Sdn. Bhd. (Momentum Digital), Najib Assadok.

Ida Riswana berkata, dengan sokongan Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra) dan rakan-rakannya seperti Dato Wira Dr. Azizan Osman dan Najib Assadok.

“Setelah kami berbincang, mereka bersetuju untuk membantu dengan forum pada hari ini yang diadakan secara percuma,” ujarnya selepas sidang media forum Bangkit Usahawan Umrah

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan; Pengarah Urusan Kumpulan Andalusia, Ibrahim Mat Sin; dan Pengerusi Eksekutif, Datuk Md Daud Che Ngah.

Sementara itu, Khairul Firdaus mengalu-alukan kolaborasi antara syarikat Andalusia dan Bumitra, Richworks dan Momentum Digital dalam menganjurkan forum ini.

Kata beliau, ia merupakan suatu aspek yang penting dalam membangunkan industri umrah di negara ini.

“Jadi, saya mengharapkan semoga pelbagai perkongsian ilmu pengetahuan berkenaan industri haji dan umrah ini dapat terus dilaksanakan demi kesejahteraan dan kemajuan kita semua, insya-Allah,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/5/2024

- Advertisement -