
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan memperuntukkan sebanyak RM3.3 juta untuk menjayakan Tahun Melawat Kelantan 2024 (TMK 2024) secara bersepadu.
Menteri Besar Kelantan, Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata, ia adalah bagi merealisasikan Kelantan menjadi destinasi dan pemacu utama pembangunan sosioekonomi negeri ini.
“Pihak kerajaan melalui Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Kelantan itu akan memaparkan keaslian seni budaya dan warisan masyarakat tempatan berserta penganjuran bertaraf antarabangsa dengan kerjasama dari negara-negara Asia, Eropah dan Timur Tengah.
“Melalui penglibatan dan kerjasama yang strategik daripada semua pemain industri termasuk rakyat Kelantan, kerajaan negeri optimis TMK 2024 dengan tema Family, Food and Festival itu akan mencapai kejayaan sasaran 10 juta pelancong dan pelawat ke negeri ini,” katanya.
Tambah beliau, sehubungan itu, kerajaan negeri memberi fokus utama bagi menggerakkan usaha secara bersepadu ke arah kejayaan dalam merealisasikan hasrat supaya Kelantan menjadi destinasi utama pelancongan di rantau ini.
“Kerajaan negeri sedar dan yakin Kelantan mampu menjadi antara penyumbang terbesar kepada industri pelancongan negara khususnya melalui industri kreatif yang berasaskan kepada keterampilan, kemahiran, bakat dan potensi individu bagi melahirkan suatu ciptaan atau produk baru berasaskan seni kreatif dan warisan budaya seperti batik dan kraftangan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Pelancaran TMK 2024 di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV di sini, pada Ahad.
Sementara itu katanya, Kelantan turut mengucapkan penghargaan kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia di atas perhatian dan kerjasama bagi memacu pertumbuhan industri pelancongan di Kelantan.
“Kerajaan negeri berharap kerjasama ini dapat ditingkatkan dari semasa ke semasa terutama melibatkan pembangunan infrastruktur pelancongan negeri ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/2/2024




















