
KUALA LUMPUR: Kejatuhan nilai mata wang Ringgit Malaysia (RM) yang masih berada di dalam zon lemah perlu dilihat sebagai satu maruah kepada Malaysia.
Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim berkata, beliau menggesa Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim merangkap Menteri Kewangan agar melihat perkara ini dengan serius dan menjadi penyelamat kepada maruah negara ini.
“Bukannya mengelak, apatah lagi terus-menerus menyalahkan isu-isu legasi seperti hutang, 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dan kadar defisit yang tinggi.
“Perkara-perkara ini telah pun difahami semua. Sekarang, rakyat dan para pelabur khususnya, mahu melihat satu tindakan yang konkrit daripada kerajaan.
“Kerajaan seharusnya berganding bahu bersama Bank Negara Malaysia (BNM) bagi memastikan nilai mata wang (yang merupakan ukuran kepada maruah negara) sekarang ini kekal di tahap penerimaan yang tinggi, bukannya menjadi nilai mata wang yang tercorot di rantau Asia ini,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Tambah beliau, rakyat baru-baru ini kesal dengan sikap lepas tangan yang ditunjukkan oleh Anwar apabila dilaporkan enggan menjawab soalan wartawan mengenai kejatuhan mata wang ringgit
Malah, Anwar sebaliknya memaklumkan bahawa perkara itu akan dijawab oleh Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour.
Menurut Awang lagi, pertanyaan tersebut merupakan susulan daripada beberapa kenyataan dan jangkaan oleh pihak penganalisis, termasuklah nota penyelidikan daripada pihak Bloomberg.
“Pihak tersebut menyatakan bahawa nilai Rnggit semasa berpotensi menghampiri paras yang sama ketika Krisis Kewangan Asia yang telah menjejaskan imata wang serantau pada tahun 1998.
“Hal ini kerana, Ringgit semasa telah dilaporkan berada pada paras yang hanya dua peratus lagi untuk mencecah nilai RM4.885 berbanding dolar Amerika.
“Umum mengetahui bahawa tekanan yang dihadapi oleh ringgit dan mata wang serantau adalah kesan daripada faktor luaran iaitu tekanan daripada Amerika Syarikat sendiri,” jelasnya.
Beliau juga mantan Timbalan Kementerian Sumber Manusia berkata, risiko terhadap Ringgit dilihat akan terus mencapai paras terendah dalam masa terdekat ini.
“Kadar eksport juga tidak pulih, tidak seperti di ekonomi Asia yang lain dan pertumbuhan ekonomi mungkin kekal hambar pada suku pertama tahun 2024 ini ditambah pula dengan pelaporan yang menyatakan bahawa ekonomi China yang tidak begitu merangsangkan.
“Hal demikian turut menjejaskan kadar eksport Malaysia yang sememangnya telah merosot untuk bulan kesepuluh berturut-turut pada Disember,” ujarnya.
Sementara itu, indikator yang perlu dilihat ialah nisbah kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) telah jatuh kepada paras hampir terendah dalam tempoh 20 tahun walaupun Malaysia masih mencatat lebihan akaun semasa.
“Hal ini akan mengehadkan lagi sokongan untuk melonjakkan nilai mata wang ringgit.
“Selain itu, keadaan Malaysia yang amat terdedah kepada aktiviti import barangan, makanan dan bahan pembuatan yang pastinya mempunyai kesan rantaian terhadap kadar inflasi dan harga barang serta perkhidmatan dalam negara,” katanya.
Tambah beliau, rakyat dan pengguna sudah tentunya tidak bersorak apabila melihat mata wang ringgit makin menyusut nilainya.
“Bahkan, kita akan semakin bimbang dengan situasi ini kerana keadaan akan terus menekan aspek kos sara hidup rakyat pada tahun ini.
“Maka, rakyat mengharapkan keseriusan pihak kerajaan bagi menyelamatkan nilai mata wang daripada terus jatuh sehingga mencecah ke paras yang terendah berbanding pada tahun 1998 ketika Krisis Kewangan Asia.
“Malaysia memerlukan Perdana Menteri yang bermaruah dan gagah bagi memastikan maruah negara kekal terpelihara dan harapan rakyat direalisasikan dengan baik, bukannya lemah seiring melemahkan nilai mata wang ringgit negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/2/2024




















