
KUALA LUMPUR: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) hari ini secara rasmi memuktamadkan keputusan menghentikan kerjasama politik dengan BERSATU berkuat kuasa serta-merta, demikian umum Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Ketetapan drastik itu dicapai setelah membincangkan kedudukan serta hala tuju parti dalam mendepani landskap politik semasa tanah air pada Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat di Pejabat Agung PAS, di sini sebentar tadi.
Beliau memaklumkan bahawa keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pertimbangan dasar, hukum dan maslahah, selain meneliti laporan serta kajian menyeluruh berhubung perkembangan mutakhir membabitkan parti sekutunya itu.
“Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang diadakan pada hari ini, Isnin 8 Jun 2026, telah membuat ketetapan seperti berikut, iaitu pertama; memperakukan keputusan Mesyuarat Majlis Syura Ulamak pada 2 Jun 2026.
“(Yakni) berhubung pertimbangan dasar, hukum dan maslahah kerjasama politik PAS, atas prinsip penyatuan ummah; kedua meneliti kedudukan dan hala tuju kerjasama politik PAS–BERSATU berdasarkan laporan, kajian dan penilaian semasa.
“Ketiga, menghentikan kerjasama politik dengan BERSATU,” katanya yang juga Ahli Parlimen Marang dalam satu kenyataan media dikeluarkan sebentar tadi selepas mesyuarat tersebut.
Hubungan antara dua parti tunjang Perikatan Nasional (PN) ini dilaporkan mula retak sejak bulan lalu berikutan timbulnya rasa kurang senang dalam kalangan pimpinan PAS terhadap sikap dan hala tuju BERSATU.
PAS sebelum ini secara terbuka menyuarakan kekesalan terhadap beberapa tindakan BERSATU yang dianggap telah melanggar semangat setia kawan yang dijalin sejak penubuhan gabungan berkenaan.
Suasana itu diburukkan lagi dengan krisis dalaman BERSATU sendiri yang menyaksikan ketidakstabilan struktur kepimpinan, sekali gus mendorong PAS menilai semula maslahah serta impak kerjasama politik tersebut terhadap agenda penyatuan ummah.
Meskipun bertindak memutuskan hubungan dengan BERSATU, Tuan Guru menegaskan bahawa PAS akan terus meneroka ruang kerjasama dan persefahaman politik baharu dengan pihak lain demi memastikan kelangsungan agenda penyatuan masyarakat Melayu-Islam di negara ini.
Langkah itu sebagai persiapan strategik bagi menghadapi cabaran Pilihan Raya Negeri (PRN) serta Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan datang.
“Meneroka suatu bentuk persefahaman politik dan kerjasama pilihan raya (electoral pact) demi penyatuan ummah, bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri dan Pilihan Raya Umum ke-16.
“Menerima hasrat tokoh-tokoh akademik, profesional, pemimpin politik, dan aktivis masyarakat untuk menyertai PAS,” jelas beliau bagi keputusan untuk perkara keempat dan kelima itu. – HARAKAHDAILY 8/6/2026













