Kekuatan Muslimat PAS berasaskan iman dan takwa

Dr. Hajah Najihatussalehah Ahmad
- Advertisement -

KUANTAN: Muslimat PAS perlu terus memperkukuhkan saf perjuangan, merapatkan ukhuwah serta memainkan peranan sebagai pendukung dakwah dan siasah dalam usaha menyampaikan risalah Islam kepada masyarakat.

- Advertisement -

Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat, Dr. Hajah Najihatussalehah Ahmad berkata, Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Muslimat PAS bukan sekadar medan menilai gerak kerja tahunan, malah menjadi ruang untuk mengukuhkan kesatuan dan memperbaiki hubungan sesama ahli.

Menurutnya, kekuatan Muslimat PAS terletak pada perpaduan yang berasaskan iman dan takwa serta kesediaan ahli untuk bergerak sebagai satu pasukan dalam mendepani cabaran semasa.

Katanya, Muslimat PAS bukan sekadar berperanan untuk memenangkan calon dalam pilihan raya, sebaliknya memikul tanggungjawab menyampaikan risalah Islam kepada masyarakat.

“Kita bukan sekadar mahu menang dalam pilihan raya, tetapi kita mahu menyampaikan risalah Islam kepada masyarakat.

“Muslimat hari ini perlu menjadi pendukung dakwah dan siasah kepada seluruh masyarakat tanpa mengira latar belakang,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Muslimat PAS Kawasan Indera Mahkota Kali Ke-22 di Dewan Syed Zulkifli, Putra Balok, di sini baru-baru ini.

Tambah beliau, Muslimat PAS perlu memanfaatkan kepelbagaian kemahiran yang dimiliki ahli untuk memperluaskan gerak kerja dakwah, kebajikan dan penerangan kepada masyarakat.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bota, Perak itu juga berkata, pendekatan dakwah juga perlu dilaksanakan dengan hikmah dan kebijaksanaan sebagaimana yang ditunjukkan Rasulullah SAW dalam menyatukan masyarakat dan membina kekuatan umat Islam.

Beliau turut menggesa Muslimat PAS terus turun ke lapangan menyantuni rakyat, mendengar permasalahan masyarakat serta menjadi penghubung antara parti dan rakyat.

Sementara itu, Yang Dipertua PAS Kawasan Indera Mahkota, Dato’ Andansura Rabu berkata, PAS memerlukan jentera yang tersusun, berstrategi dan bergerak secara berjemaah bagi merealisasikan hasrat menerajui negeri Pahang.

Menurutnya, perjuangan Islam tidak boleh digerakkan secara bersendirian, sebaliknya memerlukan organisasi yang kukuh, berdisiplin serta mempunyai hala tuju yang jelas.

Beliau berkata, PAS berbeza daripada parti-parti lain kerana perjuangannya bukan semata-mata untuk memenangi pilihan raya, tetapi membawa masyarakat ke arah kebaikan dan memperoleh keredaan Allah SWT.

“Justeru, kita perlu bergerak dalam satu saf yang tersusun, menilai kelemahan yang perlu diperbaiki serta menggembleng segala kekuatan yang ada bagi mencapai matlamat perjuangan,” katanya yang juga ADUN Beserah.

Beliau turut menyeru seluruh ahli agar terus memperkukuhkan kesatuan dan memainkan peranan masing-masing dalam menjayakan agenda dakwah serta kebajikan parti.

Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Indera Mahkota Salwati Saleh, pula mengingatkan ahli agar memperkukuhkan hubungan dengan Allah SWT, menjaga keikhlasan serta membuang sifat-sifat mazmumah dalam diri sebelum memikirkan soal kemenangan dalam pilihan raya.

Beliau berkata, Muslimat PAS perlu terus mendekati masyarakat melalui kebajikan dan akhlak yang baik kerana pendekatan penuh hikmah serta sifat prihatin mampu membuka hati masyarakat untuk mendekati Islam dan perjuangan PAS. – HARAKAHDAILY 8/6/2025

- Advertisement -