
KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu mengisytiharkan Ahad adalah Hari Batik bagi penjawat awam dan seluruh penduduk Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris berkata, penetapan pemakaian itu tidak hanya terhad kepada penjawat awam, malah digalakkan kepada mereka yang bertugas di sektor swasta, usahawan dan individu yang bekerja sendiri untuk memakai batik pada hari berkenaan.
“Kerajaan negeri juga bersetuju untuk mengekalkan keputusan penjawat awam diwajibkan memakai batik pada setiap hari Khamis sepertimana arahan yang digunakan pakai sebelum ini.
“Bagi meneruskan sokongan kepada industri batik di Terengganu dan mempromosikan lagi negeri ini kepada pelancong luar, kerajaan negeri bersetuju menggalakkan pemakaian batik pada hari Ahad dan mewajiban penjawat awam memakai batik pada setiap Khamis.
“Semoga inisiatif ini dapat menjadi medium promosi kepada penghasilan batik Terengganu yang merupakan salah satu produk yang bermutu dan berkualiti tinggi serta dapat membantu menjana ekonomi pengusaha batik Terengganu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mewakili Menteri Besar Terengganu merasmikan Karnival Beautiful Terengganu Malaysia (KBTM) 2024 di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu, malam tadi.
Sementara itu, katanya, KBTM 2024 anjuran Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) itu berlangsung selama empat hari bermula 22 hingga 25 Januari 2024.
Tambah beliau, karnival berkenaan menyajikan puluhan aktiviti antaranya jualan pakej pelancongan, jualan produk, pertandingan mewarna, persembahan rodat, persembahan silat, dikir barat, demonstrasi anyaman kercut, atap nipah, persembahan tarian sewang, wayang kulit, ketuk hulu, tarian balai dan cabutan bertuah.
Menurutnya, kesemua aktiviti tersebut mendapat kerjasama dan dijayakan oleh 14 jabatan kerajaan dan 15 pengiat serta pemain industri pelancongan.
Beliau berkata, JPNT menyasarkan lebih 150,000 pengunjung tempatan dan luar Terengganu yang akan hadir membanjiri KBTM 2024.
Katanya, jumlah itu diyakini mampu dicapai kerana karnival kali ini diadakan sempena cuti persekolahan dan turut dimeriahkan dengan penganjuran Havoc Food Festival 2024.
“KBTM 2024 yang disenaraikan dalam Kalender Acara Pelancongan dan Kebudayaan (COE) itu sebagai salah satu acara signatur, program itu merupakan acara kedua, yang mana sebelum ini adalah Senandung Terengganu.
“Selari dengan usaha untuk merancakkan kembali industri pelancongan domestik khususnya, dengan penganjuran KBTM 2024 diharap dapat menjadi sebahagian daripada penyumbang dalam meningkatkan jumlah kemasukan pelancong daripada 3.6 pada tahun lalu kepada seperti yang disasarkan Kerajaan Terengganu pada tahun ini, seramai 4.5 pelancong.
“Penganjuran acara sebegini secara tidak langsung memberi impak ekonomi yang positif kepada penduduk. Dan inilah yang kita mahu agar rantaian ekonomi itu diperluaskan sehingga semua pihak turut merasai manfaatnya.
“Orang ramai boleh mendapatkan perkembangan aktiviti-aktiviti menarik pelancongan dan kebudayaan negeri Terengganu menerusi laman media sosial rasmi di Facebook, Instagram, Tiktok dan Telegram dengan nama Beautiful Terengganu Malaysia,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/2/2024




















