
KOTA BHARU: Seramai 130 penduduk tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman mereka musnah dalam insiden kebakaran besar sekitar jam 12.30 tengah hari membabitkan 15 rumah di Kampung Gok Kapur, di sini hari ini.
Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO), Dato’ Dr Izani Husin segera bergegas bahkan sanggup meredah sisa asap dalam keadaan bertongkat demi meninjau keadaan lokasi serta menyantuni mangsa yang terjejas.
Dr Izani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijang berkata, beliau mahu melihat sendiri impak bencana dan memastikan gerak kerja bantuan awal dapat disalurkan dengan kadar segera kepada semua mangsa terlibat.
“Wajah-wajah mereka masih terkejut dan pilu benar-benar menyentuh hati. Dalam sekelip mata mereka kehilangan tempat berteduh dan harta benda. Bagi membantu meringankan beban mangsa, kita membuka Tabung Kecemasan Kebakaran Gok Kapor dengan segera.
“Saya menyeru kepada semua yang berkemampuan agar menghulurkan sumbangan,” katanya di mana orang ramai boleh menyumbang melalui Tabung Amal DUN Kijang 03036010032344 (Bank Islam).
Kampung Gok Kapur merupakan antara kawasan penempatan padat di pinggir bandar Kota Bharu yang sebahagian besarnya terdiri daripada struktur rumah tradisional separuh kekal dan kayu.
Faktor taburan kediaman yang rapat serta kedudukan geografi dalam laluan angin sering kali menjadi cabaran utama sekiranya berlaku insiden kebakaran domestik di kawasan seumpama itu.
Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Penguasa Bomba Kanan II Khairul Arifin Che Ramli mengesahkan struktur kedudukan rumah penduduk yang terlalu rapat menjadi punca utama rantaian api marak dengan begitu pantas.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa tindakan agresif dan strategik daripada pasukan penyelamat berjaya menyekat kemusnahan daripada menjadi lebih buruk.
“Tindakan pantas Bomba dapat menyelamatkan lebih 10 rumah di kawasan sekitar daripada terbakar,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai situasi emosi mangsa, Dr Izani menasihati seluruh keluarga yang terjejas agar tabah mendepani ujian berkenaan dan memberi jaminan bahawa kebajikan mereka tidak akan diabaikan.
“Saya berpesan kepada mereka agar terus kuat menghadapi dugaan ini dan jangan berasa keseorangan kerana ramai yang bersedia menghulurkan bantuan,” ujarnya.
Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud memaklumkan menerima perkhabaran duka berhubung insiden berkenaan sebaik sahaja tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) petang tadi.
Beliau menzahirkan rasa syukur kerana tiada sebarang kehilangan nyawa atau kecederaan jiwa dilaporkan dalam tragedi tersebut, selain memberi komitmen penuh bahawa proses pemulihan pasca-bencana akan dipercepatkan.
“Kesedihan tersebut bukan hanya dirasai mangsa, bahkan turut dirasai seluruh rakyat Kelantan. Alhamdulillah, tiada kehilangan nyawa dilaporkan. Keutamaan sekarang memastikan setiap mangsa mendapat perlindungan, bantuan dan sokongan yang sewajarnya.
“Saya yakin Dato’ Dr Izani bersama agensi-agensi berkaitan akan terus memantau keadaan serta menyelaras bantuan agar kebajikan mangsa sentiasa terpelihara dan proses pemulihan dapat dipercepatkan,” katanya.
Menteri Besar turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, pihak pengurusan masjid, barisan sukarelawan, serta orang awam yang bergandingan bahu menghulurkan bantuan awal di lokasi kejadian. – HARAKAHDAILY 8/6/2026












