BERSATU perlu terima tambah gabungan PN

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PEJUANG, Muhammad Rafique Rashid Ali mengingatkan bahawa sejarah telah membuktikan tiada satu parti politik mampu memenangi pilihan raya dan mentadbir negara secara bersendirian.

Beliau menjelaskan bahawa kekuatan Barisan Nasional (BN) sebelum 2018 juga terbina menerusi gabungan beberapa parti dengan Umno berperanan sebagai parti teras atau ‘anchor party’.

- Advertisement -

Menurutnya, kebelakangan ini Umno dilihat kembali membawa naratif untuk bergerak secara solo, namun ramai beranggapan perkara itu sekadar mengabui mata pihak lawan.

“Mengabui mata lawan tetapi selepas mana-mana pilihan raya akan bergabung semula untuk membentuk kerajaan dengan Pakatan Harapan (PH). Formula cikgu dan anak murid,” ujar beliau dalam media sosial miliknya.

Rafique berpandangan, keadaan itu menjadi ujian penting kepada BERSATU yang perlu menilai secara mendalam perkembangan politik semasa.

Beliau menekankan bahawa tumpuan terhadap populariti di media sosial tidak menggambarkan realiti sebenar di lapangan kerana rakyat melihat tiadanya penyatuan dalam kalangan pihak yang mahu membawa perubahan.

“Realitinya adalah rakyat kebanyakannya telah muak dengan perangai pemimpin politik sama ada kerajaan mahupun pembangkang. Jari mesti dituding pada kita sendiri ahli parti serta pimpinan,” tegasnya.

Tambah beliau, rakyat mahu melihat sebuah gerakan massa yang komited terhadap isu ekonomi, kos sara hidup, kepimpinan yang berani dan jujur kepada rakyat serta sistem yang adil dan saksama berteraskan undang-undang.

Pada masa sama, beliau menyifatkan siri ‘tembakan’ dan sindiran sesama pembangkang tidak membawa sebarang keuntungan, sebaliknya hanya merugikan.

Menurutnya, keadaan itu menguntungkan pihak kerajaan yang melihat pembangkang berpecah, selain turut diperhatikan oleh rakyat.

“(Perpecahan) Ini perlu dihentikan kerana rakyat juga perhati apa yang sedang berlaku,” ulas peguam itu.

Rafique turut memaklumkan beliau mendapat khabar bahawa Presiden BERSATU komited untuk mengukuhkan hubungan baik dengan PAS dalam Perikatan Nasional (PN).

Beliau berpandangan bahawa Presiden BERSATU yang berpengalaman dalam politik memahami kepentingan meredakan ketegangan dalam gabungan itu dan mengakui PN perlu terus dipertahankan.

“Tan Sri (Muhyiddin Yassin) orang lama dalam politik dan beliau tahu meredakan suhu amat penting untuk gabungan PN sekarang ini. Jauh di sudut hatinya, saya percaya beliau juga akui PN amat penting untuk dikekalkan.

“Pada masa sama, BERSATU juga harus akur ‘going solo is not an option’. Maka gabungan sedia ada iaitu PN juga perlu dipertambah,” terangnya.

Mengimbau Pilihan Raya Umum 2018, Rafique menjelaskan antara faktor utama kejatuhan BN ketika itu ialah rakyat diberikan pilihan yang jelas apabila pelbagai pihak bergabung dalam satu pasukan untuk menentang kerajaan.

Menurutnya, walaupun parti-parti dalam PH ketika itu mempunyai latar belakang, pegangan dan hala tuju yang berbeza, perbezaan tersebut diketepikan kerana wujud keperluan untuk menyelamatkan negara.

“Langkah yang sama diperlukan hari ini. Penggabungan semua pihak untuk tumbangkan kerajaan kakistokrasi.

“Pada BERSATU, perlu nilai mendalam situasi negara hari ini serta buat keputusan untuk bangsa, agama dan negara. Bersatu atau berpecah. Untungnya siapa?” soalnya. – HARAKAHDAILY 8/6/2026

- Advertisement -