
KANGAR: Kerajaan diingatkann agar terus memantau perkembangan global secara rapi dan mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan bekalan tenaga negara kekal stabil serta mencukupi.
Razali Saad (PN-Simpang Empat) berkata, rakyat juga perlu dilindungi
menerusi mekanisme sokongan bersasar sedia ada dan perlu terus mengimbangi keperluan fiskal secara teliti dan berhemah.
Hal itu tegasnya, bagi memastikan kesejahteraan ekonomi negara serta kelangsungan hidup rakyat terus terpelihara.
“Kita semua tahu kenaikan harga bahan api telah memberi kesan langsung pada rakyat melalui peningkatan kos sara hidup. Ia juga mencetuskan kesan rantaian yang menjejaskan perbelanjaan harian.
“Terutamanya peningkatan kos logistik yang menyebabkan harga barangan keperluan, perkhidmatan dan pengangkutan turut meningkat,” kata beliau ketika mengambil bahagian pada ucapan perbahasan sempena Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, Khamis lalu.
Situasi tersebut katanya, sekali gus mengurangkan kuasa beli masyarakat, malah peningkatan kos sara hidup juga telah memburukkan lagi keadaan.
Menurutnya lagi, kenaikan ini adalah disebabkan oleh peningkatan kos operasi perniagaan yang telah memaksa penyedia perkhidmatan seperti pengangkutan awam dan penghantaran menaikkan caj perkhidmatan mereka.
Selain itu tegas beliau lagi, kenaikan harga barang yang tidak seimbang dengan kenaikan gaji, telah menyebabkan kuasa beli rakyat menyusut.
“Terdapat juga golongan B40 yang tidak menikmati subsidi bersasar. Ini paling terkesan. Oleh itu, pihak kerajaan diharap meningkatkan usaha untuk menangani kenaikan harga barang.
“(Iaitu) melalui intervensi pasaran, penguatkuasaan undang-undang dan penyaluran bantuan kewangan bersasar. Tindakan seperti secara tidak langsung dapat melindungi kuasa membeli rakyat terutamanya golongan B40 dan M40,” tambah beliau.
Kerajaan juga sarannya, perlu memberi tumpuan kepada kawalan harga barang dan pemantauan rantaian bekalan, di samping memperkenalkan serta memperkemaskan bantuan kewangan dan subsidi bersasar yang lebih efektif kepada rakyat.
Razali dalam ucapannya turut menyentuh agar aktiviti Jualan Rahmah di seluruh negara diperluaskan lagi dengan potongan harga antara 10 hingga 30 peratus daripada harga pasaran biasa, bagi membantu golongan sasaran.
Selain itu kerajaan juga ujarnya, perlu memberikan insentif khas kepada peniaga kecil bagi menggalakkan penyediaan barangan harga mampu milik kepada pengguna.
“Dalam hal ini, Kerajaan Negeri juga perlulah berganding bahu bersama Kerajaan Persekutuan melalui agensi- agensi yang terlibat bagi menangani isu-isu ini,” tambah beliau lagi.
Dalam pada itu, beliau turut menyarankan agar setiap perancangan dan perbelanjaan negeri hendaklah dilaksanakan dengan penuh amanah, berhemah dan bertanggungjawab serta memberi manfaat kepada rakyat.
Katanya, sepertimana yang dititahkan oleh Tuanku Raja Perlis, baginda tidak mahu melihat perancangan yang baik hanya kekal di atas kertas
tanpa pelaksanaan berkesan.
Malah peringat Razali, baginda mahu setiap projek yang dirancang hendaklah dilaksanakan dengan cekap dan dipantau rapi serta siap dalam tempoh munasabah.
“Segala amanah yang dipikul hendaklah dilaksanakan dengan penuh integriti, keikhlasan dan rasa tanggungjawab yang tinggi demi kepentingan rakyat dan negeri, di samping itu keharmonian
dalam kalangan masyarakat terus diperkukuh,” kata beliau lagi.
Dalam pada itu Razali juga menegaskan agar hiburan melampau yang tidak sesuai serta merugikan perbelanjaan perlu dihadkan.
“Hiburan keterlaluan atau melampau ini bukan sahaja tidak elok tetapi membawa kerugian,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 8/6/2026











