Pukul hingga mati: Angkara emosi, kes kecil jadi besar

zakiah tukirin
- Advertisement -

JOHOR BAHRU: Tindakan sekumpulan individu yang memukul sehingga mati seorang pemandu yang terlibat dalam kemalangan pada satu kejadian di Semenyih baru-baru ini hanya menjadikan satu kes yang kecil menjadi besar dan merumitkan.

Ketua Dewan Muslimat PAS Johor, Zakiah Tukirin berkata, semua itu berpunca daripada kegagalan mengawal emosi sehingga menyebabkan berlaku tragedi berdarah tersebut.

- Advertisement -

“Jika berlaku kemalangan, apa yang perlu dibuat sepatutnya adalah buat laporan polis. Kalau ada kerugian pun boleh tuntut insurans. Kalau memang bersalah biarlah mahkamah yang mengadili pesalah-pesalah tersebut.

“Namun, sesetengah orang awam menjadikan kes ini lebih ‘complicated’ daripada kemalangannya mungkin berlaku tidak sengaja, bertukar kepada satu kes pembunuhan. Jadi daripada perkara yang mungkin kecil menjadi lebih besar,”ujar beliau.

Zakiah berkata demikian susulan kejadian seorang pemandu kereta yang dibelasah hingga mati oleh sekumpulan individu kerana dikatakan melanggar lari seorang penghantar makanan dalam kejadian yang berlaku di Semenyeh, Selangor, baru-baru ini.

Katanya, seseorang individu yang tidak dididik untuk mengawal emosi dan kemarahan yang meluap-luap, ia boleh membawa kepada kemudaratan seperti apa yang berlaku itu.

Tambah beliau, sebelum ini pun ada berlaku beberapa kes yang mulanya hanya melibatkan isu-isu kecil tetapi berakhir dengan pembunuhan yang menyayat hati.

“Sebab bukan kes ini saja, sebelum ni ada kes Bella. Kes kerana cemburu pun sanggup membunuh. Sebelum-sebelum ni pun ada kes bapa tiri dera anak tiri sampai anak itu meninggal dunia.

“Jadi, rasanya seolah-olah rakyat Malaysia ni semakin gagal mengawal emosi ataupun mungkin ada fenomena yang mungkin berkaitan dengan sakit mental. Mungkinlah pada tahap awal tidak ditangani ni dengan baik,” hujahnya.

Beliau juga berharap agar agensi-agensi kerajaan yang berkaitan dengan dibantu oleh badan-badan bukan kerajaan (NGO) agar dapat menangani isu melibatkan mental itu agar kejadian yang sama tidak berulang lagi.

“Kalaulah kerana emosi, mungkin kita boleh tangani dari segi pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan sebagainya, NGO-NGO, boleh ‘create awarenes’’

“Supaya orang ramai selalu mengawal emosi, macam mana nak mengelakkan gangguan-gangguan sakit mental ni walaupun pada peringkat awal lagi,” tegasnya.

Namun kata beliau, timbul kebimbangan sekiranya orang awam iaitu rakyat Malaysia ini melihat undang-undang tidak lagi penting dan dihormati selain merasakan undang-undang itu dicipta untuk dilanggar. 

Katanya lagi, walau pun sudah banyak kejadian-kejadian yang hampir sama berlaku dan hukuman pun sudah dijatuhkan, namun ia masih lagi berterusan.

“Maknanya, mereka tak merasakan bahawa undang-undang ini boleh membawa kebaikan kepada orang ramai. Mungkin kes-kes yang sebelum ni dibawa ke pengadilan  lambat sangat untuk dibicarakan.

“Mungkin orang yang bersalah itu terlepas bebas tidak dihukum. Ia mengecewakan bagi ereka yang membawa kes tersebut,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/2/24

- Advertisement -