
KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta mempertingkatkan peruntukan sehingga RM600 juta bagi melaksanakan kajian dan pembangunan dalam sektor pertanian khususnya membabitkan aktiviti penanaman padi dan penghasilan beras untuk pasaran tempatan.
Senator Hussin Ismail berkata, dana yang diumumkan oleh kerajaan dalam Belanjawan 2024 baru-baru ini sebanyak RM60 juta dilihat tidak mencukupi untuk melaksanakan inisiatif tersebut sekaligus memperkasakan lagi serta meningkatkan industri pengeluaran makanan ruji negara.
Beliau berkata, kerajaan perlu menandingi inovasi dalam sektor pertanian yang dihasilkan oleh negara jiran seperti Thailand, Vietnam dan Indonesia, antara kejayaan negara itu ialah dapat mengeluarkan hasil padi dalam tempoh yang singkat iaitu antara 70 sehingga 75 hari.
“Kajian yang kita peruntukkan untuk pertanian ini yang saya lihat kecil kalau tidak silap saya RM60 juta, saya difahamkan kita memerlukan dalam RM600 juta untuk melakukan kajian ini akan membina inovasi baharu itulah sebabnya negara jiran kita berjaya termasuk tanam kurma.
“Indonesia hasilkan jenis baharu baharu dalam tempoh 70 hari mampu keluarkan hasil di Vietnam pun ada juga ciptaan baharu mereka, saya nak kalau boleh bagi sikit kesempatan untuk kita dalam konteks ini bagaimana pemerkasaan pertanian dapat dijayakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika bangun mencecah pada sesi penggulungan kerajaan mengenai Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Dato’ Seri Mohamad Sabu di Persidangan Dewan Negara di sini hari ini.
Mohamad Sabu pula dalam jawapannya menyambut baik cadangan tersebut, malah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedang bekerjasama dengan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dalam dan luar negeri bagi menterjemahkan hasrat tersebut.
Beliau menyatakan bahawa agensi penyelidikan di bawah KPKM seperti Institut Penyeldidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) bagi menanam padi dalam masa yang singkat selain mengeluarkan padi dan beras yang mencukupi untuk kegunaan penduduk tempatan.
“Semuanya sedang terlibat Mardi, University Putra Malaysia (UPM), terlibat dalam kajian ini dan sentiasa memberi idea-idea baharu kepada kementerian supaya ia dapat diperturunkan kepada petani, ini yang sedang kita usahakan dan usaha-usaha lain lagi.
“Saya juga berbincang dengan profesor di China bagaimana kita boleh tanam padi dalam air masing, mereka pun telah datang ke sini bincang dengan pihak Mardi kita dan sekarang sedang diusahakan dan akan sampai waktu kita boleh tanam di kawasan air masin,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/12/2023




















