
SEMENANJUNG GAZA: Gaza kembali diserang tentera Zionis pada pada hari ini, Jumaat (1 Dis) yang telah mengorbankan lebih 100 nyawa orang awam dalam operasinya terhadap Hamas selepas menuduh kumpulan pejuang Palestin itu melanggar gencatan senjata sementara dengan melakukan tembakan ke arah wilayah Israel.
Pegawai Kementerian Kesihatan di Gaza berkata, sekurang-kurangnya 109 orang telah terbunuh sejak tentera Israel meneruskan operasi ketenteraannya selepas 7 hari gencatan senjata sementara, lapor Al Jazeera.
Terdahulu, sejumlah 21 orang dilaporkan terkorban dalam tempoh dua jam gencatan senjata itu berakhir.
Penduduk awam dilaporkan terbunuh di beberapa lokasi di Semenanjung Gaza termasuk di Beit Lahia, utara Semenanjung Gaza; di Maghazi, tengah Semenanjung Gaza, di bandar Khan Younis, selatan Semenanjung Gaza; di bandar Hamad, selatan Khan Younis; dan di Rafah, selatan Semenanjung Gaza.
Wartawan Hind Khoudary dari Khan Younis pada ketika itu melaporkan di selatan Gaza, sekurang-kurangnya enam orang terbunuh dalam serangan ke atas sebuah rumah di Rafah dan seorang lagi di Khan Younis.
Israel sebelum itu dilaporkan telah meminta penduduk di kawasan kejiranan tertentu di Khan Younis untuk keluar dari situ sebelum serangan dijangka berlaku di kawasan itu.
“Pasukan Israel menggugurkan risalah untuk penduduk di Khan Younis meminta mereka berpindah ke Rafah tetapi mereka juga menyasarkan serangan di Rafah,” kata Khoudary.
Sementara, pejabat Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berkata bahawa dengan penyambungan semula pertempuran dengan Hamas, Israel komited untuk mencapai sasarannya dalam perang.

Terdahulu, jeda tujuh hari, yang bermula pada 24 Nov lalu sebelum yang dilanjutkan sebanyak dua kali, telah membenarkan pertukaran berpuluh-puluh tawanan yang ditahan di Gaza dengan ratusan tahanan Palestin di penjara Israel; selain memudahkan kemasukan bantuan kemanusiaan ke jalur pantai yang musnah dibom Zionis.
Dalam sejam sebelum gencatan senjata ditetapkan untuk berakhir pada 7 pagi (0500 GMT) Jumaat, Israel mendakwa, ia telah memintas roket yang dilepaskan dari Gaza.
Walau bagaimanapun, tiada sebarang komen segera daripada Hamas atau dakwaan bertanggungjawab melakukan serangan roket ke wilayah Israel sebagaimana didakwa Zionis itu. – HARAKAHDAILY 1/12/2023




















