Perluaskan perkhidmatan geriatrik di Malaysia

Dominic Lau
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dato Lukanisman Awang Sauni berkata, sehingga kini terdapat sebanyak 17 buah hospital di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), di seluruh negara yang meyediakan perkhidmatan geriatrik dengan pakar geriatrik residen dengan unit geriatrik kecuali di Perlis dan Terengganu.

“KKM mengambil maklum mengenai negeri-negeri yang masih tidak mempunyai pakar geriatrik residen ini dan sedang merancang untuk memperkembangkan lagi perkhidmatan geriatrik di negeri-negeri yang disebut itu,” katanya. 

- Advertisement -

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan daripada Senator Dr. Dominic Lau Hoe Chai yang bertanyakan apakah perkembangan terkini perubatan geriatrik di hospital awam termasuk penawaran peringkat sarjana dan sub kepakaran.

Namun demikian, katanya lagi, buat masa ini bagi hospital-hospital tanpa pakar geriatrik residen, liputan perkhidmatan geriatrik akan diperluaskan oleh KKM melalui kaedah seperti berikut:

“Pertama, perkhidmatan lawatan pakar geriatrik ke hospital-hospital tanpa pakar geriatrik. 

“Kedua, inisiatif hospital kluster di mana hospital yang mempunyai pakar geriatrik akan mengetuai memberikan penyampaian perkhidmatan geriatrik di hospital tanpa pakar geriatrik di bawah kluster yang sama,” hujahnya di Dewan Negara, di sini, hari ini.

Lukanisman turut memberitahu bahawa jumlah bilangan pakar geriatrik di hospital kerajaan dan swasta, sehingga kini, adalah 35 orang pakar geriatrik yang berkhidmat di hospital kerajaan iaitu pertambahan dua orang pakar ketika awal tahun ini. 

“Seramai 13 orang pakar berada di hospital universiti dan 14 orang pakar berada di hospital swasta yang sedang memberikan perkhidmatan geriatrik,” ujarnya. 

Justeru, katanya lagi, secara purata sekurang-kurangnya seramai 8 orang pakar perubatan telah mengikuti latihan sub kepakaran dalam bidang geriatrik setiap tahun. 

“Bilangan pakar yang sedang mengikuti latihan sub kepakaran dalam bidang geriatrik adalah bergantung kepada minat pakar perubatan tersebut dan bilangan slot latihan sub kepakaran yang dilaksanakan setiap tahun,” kongsinya.

Beliau turut memberitahu, bagi menarik minat lebih ramai pakar perubatan dalam bidang geriatrik di Malaysia, beberapa inisiatif telah digariskan melalui Pelan Tindakan Warga Emas 2023 – 2030,

“Antaranya, menambah usaha promosi bagi pengajian sub-kepakaran dan menambah bilangan biasiswa yang ditawarkan untuk latihan kepakaran dalam bidang geriatrik,” katanya. .  HARAKAHDAILY 30/11/2023

- Advertisement -