Mekanisma elak padi negeri dijual ke kilang negeri lain

Dr Azman Ibrahim
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Padi Negeri Terengganu mempunyai mekanisma kawalan bagi mengelakkan hasil padi negeri ini dijual ke kilang padi di negeri lain.

- Advertisement -

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim jawatankuasa itu dipengerusikan beliau melibatkan semua jabatan, agensi dan badan berkaitan dalam kluster padi negeri ini.

“Terengganu merupakan satu-satunya negeri yang mengawal hasil padi dari dijual keluar dengan kerjasama Bernas.

“Justifikasi kawalan ini ialah disebabkan ketidakcukupan padi dalam kalangan pengilang tempatan dan hasil padi dalam negeri Terengganu,” katanya semasa menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ustaz Ahmad Shah, pada persidangan DUN Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Ahmad Shah bertanya mengenai mekanisma kawalan bagi mengelakkan hasil padi Terengganu daripada dijual ke kilang padi di negeri lain.

Menurut Azman yang juga Adun Jabi berkata, berdasarkan justifikasi itu, kerajaan negeri melalui bahagian Kawalselia Padi Beras negeri telah melaksanakan beberapa langkah kawalan.

Kata beliau, antaranya arahan pembekuan semua permit pemindahan padi keluar dari Terengganu.

“Sebarang pemindahan padi tanpa permit adalah merupakan satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994,” katanya.

Tambahnya, Bernas tidak akan membayar subsidi harga padi kepada petani yang menghantar hasil padi ke kilang padi di negeri lain.

Manakala, kata Azman, bahagian Kawalselia Padi dan Beras pula akan menjalankan rondaan dan pemeriksaan berkala di sempadan bagi memastikan tiada pelanggaran arahan dan kesalahan dilakukan.

“Bahagian Kawalselia Padi Beras negeri membuat pemeriksaan bagi memastikan harga lantai belian padi RM1,300 per tan di kilang-kilang dalam negeri mengikut ketetapan harga kawalan yang ditetapkan,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/11/2023

- Advertisement -