
KUALA LUMPUR: Fasal GEG digugurkan daripada Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 bernombor D.R. 25 /2023 (DR25) yang diumumkan Dr Zaliha di Dewan Rakyat, di sini, hari ini sangat mengejutkan.
Dr. Halimah Ali (PN-Kapar) berkata, terdapat kekeliruan yang berlaku dalam rujukan laporan DR25 sebelum ini menyatakan Rang Undang-Undang (RUU) generasi penamat merokok (GEG) tidak digugurkan daripada laporan tersebut sehingga menimbulkan perbezaan pendapat dalam kalangan rakan-rakan ahli parlimen Perikatan Nasional (PN).
Ini kerana menurut beliau, laporan tersebut sendiri terdapat dalam muka surat 18 mengenai Larangan Penjualan Produk Tembakau kepada orang ramai bertarikh 1 Januari 2007, yang mana GEG masih ada.
GEG adalah satu dasar yang bertujuan untuk menghapuskan tabiat merokok dan penggunaan produk merokok dalam kalangan generasi muda secara beransur-ansur sehingga tahun 2045.
“Saya tidak perasan sehinggalah saya diberikan kepada laporan DR25 yang lain (pada hari ini, 29 Nov 2023) dan ketika itu baru saya perasan GEG dikeluarkan daripada RUU ini,” katanya dalam Sesi Perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Namun begitu, beliau memuji usaha kerajaan dalam mengadakan RUU ini dalam menjaga kesihatan orang awam daripada bahayanya gejala rokok.
“Ini merupakan perkara yang bagus untuk kerajaan lakukan setelah merujuk kepada bahagian hujung tajuk RUU tersebut,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/11/2023




















