
KUALA LUMPUR: Kerajaan disifatkan telah tunduk dan akur kepada pemain-pemain industri rokok dan tidak ada perancangan untuk mengurangkan kegiatan merokok bagi generasi baharu, sedangkan negara terpaksa menanggung kos kesihatan berkaitan.
Datuk Ustaz Ahmad Marzuk (PN-Pengkalan Chepa) berkata, negara membelanjakan RM6.2 bilion bagi perawatan pesakit akibat daripada merokok pada tahun 2020, berbanding kutipan cukai produk rokok hanya RM3 bilion.
Bahkan hujahnya, dalam mendepani akibat ketagihan rokok dan tembakau, rakyat negara ini terpaksa mengeluarkan tambahan RM3.2 bilion lagi untuk merawat perokok-perokok tegar yang pasif.
Beliau turut menyentuh mengenai impak RUU Generasi Penamat Rokok (GEG) yang bukan sahaja tertumpu kepada isu kesihatan, tetapi juga sumbangannya kepada ekonomi negara ini.
“Sumbangan industri ini kepada KDNK negara semakin menurun dari tahun 2015 iaitu sebanyak 0.3 peratus kepada hanya 0.2 peratus pada tahun 2021. Secara purata hanya RM4 bilion setahun.
“Begitu juga industri ini hanya menyumbang sebanyak 5.3 peratus kepada pendapatan pekerja, manakala selebihnya adalah keuntungan kepada pemain-pemain industri,” ujarnya membahas RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023.
Salamiah Mohd Noor (PN-Temerloh) pula menyifatkan tindakan menggugurkan GEG dan menggantikannya dengan OBD iaitu orang belum dewasa adalah sama dengan Kementerian Kesihatan tidak melakukan sebarang perubahan.
“Lebih daripada 43,000 pelajar sekolah menengah merokok pada tahun 2022 dan 341 daripada 2 juta murid sekolah rendah merokok. Hampir 27,000 rakyat Malaysia mati setiap tahun kesan dari penggunaan tembakau ataupun merokok,” ujarnya.
Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) menyatakan, seramai 78 peratus rakyat Malaysia tidak merokok bererti majoriti ini mahukan langkah-langkah yang tepat berkaitan menangani kegiatan merokok diadakan.
“Dalam dadah ada ADB, Akta Dadah Berbahaya tetapi di sana dibuat LLKP iaitu langkah-langkah pencegahan khas bertujuan untuk mengekang lagi daripada proses awal penagihan dadah.
“Jadi dalam hal ini juga kita kira bahawa RUU pada hari ini merupakan langkah kerajaan untuk membuat kawalan terhadap rokok ini,” ujarnya menghujah kepentingan penguatkuasaan berkaitan.
Menurut beliau, selaras kesalahan berkaitan, larangan sama perlu dimasukkan dalam Enakmen lain dan adanya pengawasan, tegahan, pendidikan, selain diluaskan melibatkan premis dan sebagainya.
Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya (PN-Pokok Sena) pula menyifatkan RUU tersebut tiada nilai yang lebih kuat setelah menggugurkan atau menghakis dasar GEG tanpa ia dapat dipertahankan oleh kerajaan.
“Industri ini dicipta bukan sekadar untuk seseorang merokok, sebatang rokok semata-mata. Bahkan merokok untuk seumur hidup, hasil ketagihan. Mengapa kita tidak mahu menghentikannya hari ini demi generasi yang mendatang?
“Saya fikir merosakkan diri sendiri dengan bahana merokok bukan lagi suatu kebebasan kepada seseorang individu. Kita gubal dan pinda pelbagai akta untuk menghalang seseorang merosakkan diri sendiri seperti contoh akta dadah berbahaya.
“Tetapi apabila bercakap rokok yang turut merosakkan kesihatan individu, kita sebaliknya mempertahan dengan alasan kebebasan individu. Ia sangat tidak masuk akal,” bidas beliau. – HARAKAHDAILY 29/11/2023











