
KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta untuk menjelaskan langkah-langkah yang diambil bagi menangani masalah buli siber yang semakin buruk dalam negara ini.
Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) berkata negara ini telah menduduki tangga ke-2 dalam perbuatan buli siber dalam kalangan belia dan nombor 6 di dunia mengenai masalah tersebut.
Menurut beliau, ini merupakan satu perkara yang tidak membanggakan lebih-lebih lagi sebanyak 40 peratus belia dalam kalangan berumur 12 hingga 19 tahun adalah pengguna sosial media menurut laporan tahun 2022.
“Soalan saya, apakah usaha yang dimainkan oleh pihak Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dan juga Kementerian-Kementerian lain contohnya Kementerian Pendidikan dalam usaha untuk mewujudkan satu perundangan khususnya contohnya Akta Anti Buli secara lebih berkesan di kalangan pelajar? soalnya.
Beliau berkata demikian ketika Sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Bagi menjawab soalan tersebut, Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching menyatakan bahawa usaha pelbagai advokasi seperti inisiatif Klik Dengan Bijak (KDB) dan Sukarelawan ICT Malaysia MIV bagi menangani isu tersebut.
Menurut beliau, setiap pelajar diberikan pendedahan mengenai perlindungan kanak-kanak dalam talian supaya mereka lebih cakna tentang keselamatan diri apabila menggunakan internet dan aplikasi media sosial melalui kerjasama antara projek MIV dengan pihak sekolah.
“Melalui kerjasama dengan UNICEF (Tabung Kanak-Kanak Bangsa-Bangsa Bersatu), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengadakan seminar perlindungan kanak-kanak dan remaja dalam talian untuk ahli akademik, pengamal media dan mereka yang berkepentingan,
“Malah MCMC juga bekerjasama dengan syarikat-syarikat seperti CelcomDigi,UMobile, Maxis, Telekom Malaysia (TM) dan TIME dalam menyediakan kemudahan yang dikenali sebagai Parental Control Tools,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/11/2023




















