Yahudi diserbu di Rusia angkara provokasi Barat, Ukraine

Orang ramai berkumpul sambil melaungkan Allahu Akbar di Lapangan Terbang lapangan terbang Makhachkala di Rusia, pada Ahad, 30 Okt 2023. (FOTO: AP)
- Advertisement -

MAKHACHKALA, Rusia: Presiden Rusia, Vladimir Putin mendedahkan Barat dan Ukraine telah mencetuskan provokasi terhadap kejadian yang berlaku selepas sekumpulan lelaki di wilayah Dagestan yang majoriti penduduknya Islam menyerbu sebuah lapangan terbang dikatakan untuk ‘menangkap’ penumpang Yahudi yang tiba dalam penerbangan dari Tel Aviv.

Putin berkata, Barat dan Ukraine telah mencetuskan pergolakan melalui media sosial, sebahagian daripada apa yang dikatakannya sebagai ‘agenda jahat dan licik’ Washington mewujudkan huru-hara global untuk memastikan penguasaan berterusannya dan menghalang pesaing seperti Rusia daripada mengambil tempat mereka dalam dunia multipolar baharu.

- Advertisement -

Bercakap pada pertemuan dengan ketua keselamatan, Putin berkata, tentera yang disokong AS cuba menggugat kestabilan dan memecahbelahkan masyarakat berbilang etnik dan agama di Rusia.

“Untuk tujuan ini, mereka menggunakan pelbagai cara, seperti yang kita lihat – pembohongan, provokasi dan teknologi canggih psikologi dan pencerobohan maklumat.

“Kejadian di (lapangan terbang) Makhachkala pada malam Ahad (29 Okt) itu juga diilhamkan melalui rangkaian sosial, tidak kurang dari wilayah Ukraine, oleh tangan-tangan ejen perkhidmatan khas Barat,” tegasnya.

Jurucakap kementerian luar Rusia,  Maria Zakharova sebelum ini mendedahkan Ukraine sebagai ‘mempunyai peranan langsung dan penting’ dalam menyediakan ‘provokasi’ bagi mencetuskan insiden berkenaan.

Zakharova merujuk kepada sumber dalam talian yang dikaitkan dengan bekas ahli parlimen Rusia, Ilya Ponomaryov, yang berpangkalan di Ukraine sebagai partisan anti-Kremlin yang bergaya sendiri. 

Ponomaryov berkata bahawa dia pernah menjadi pelabur dalam saluran Telegram yang telah menyeru orang ramai untuk pergi ke lapangan terbang tetapi kemudian menegaskan bahawa dia tidak lagi mempunyai sebarang kaitan dengannya.

Orang ramai berkumpul di lapangan terbang selepas mesej di saluran Utro Dagestan, menggesa puak Dagestanis untuk bertemu dengan ‘tetamu tidak diundang’; bagi memaksa pesawat yang membawa penumpangnya Yahudi itu berpusing dan terbang ke tempat lain.

Saluran itu, yang kemudiannya diharamkan oleh Telegram, tidak menggunakan perkataan ‘Yahudi’  tetapi merujuk kepada penumpang pesawat itu sebagai ‘najis’

“Kami perlu menunggu mereka di jalan di luar lapangan terbang dan menangkap mereka sebelum mereka pergi secara berasingan,” kata mesej di saluran itu.

Terdahulu, Amerika Syarikat mengecam peristiwa itu, yang menurut jurucakap Jabatan Negara AS mengatakan ia telah ‘kelihatan seperti pogrom’ (merujuk kepada istilah keganasan anti-Yahudi dalam Empayar Rusia pada lewat abad ke-19 dan abad ke-20).

Penasihat Presiden Ukraine, Mykhailo Podolyak pula memberitahu Reuters bahawa Kyiv ‘tiada kaitan’ dengan insiden itu.

Video yang diperoleh Reuters dari lapangan terbang di Makhachkala, ibu kota wilayah Dagestan, menunjukkan kebanyakannya lelaki muda, mengibarkan bendera Palestin, dan berlari melalui lapangan terbang pada petang Ahad (29 Okt) lalu sambil melaungkan Allahu Akbar (Tuhan Maha Besar).

Satu plakad yang dijulang oleh kumpulan itu  dalam catatan media sosial yang tidak disahkan tertulis perkataaan, ‘Tiada tempat untuk pembunuh kanak-kanak di Dagestan’.

- Advertisement -