Kerja baiki jalan hujung minggu sesakkan LPT 1

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerja penyelenggaraan di Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1) yang sering dibuat pada hujung minggu menimbulkan masalah kesesakan lalu lintas yang amat panjang.

Dato’ Dr Alias Razak (PN-Kuala Nerus) berkata, ini berikutan penggunaan di LPT 1 lebih tinggi pada hujung minggu, berbanding pada hari biasa.

- Advertisement -

“Oleh itu, adakah kerajaan berhasrat untuk menyemak semula SOP (Prosedur Operasi Standard) kerja membaiki jalan, namun pada masa sama keselamatan rakyat tidak diabaikan,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada Sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Dr Alias juga ingin tahu denda yang dikenakan terhadap kontraktor yang didapati tidak mematuhi SOP kerja membaiki jalan sehingga boleh menyebabkan kemalangan maut atau kehilangan harta benda dan kerosakan kenderaan.

Selain itu, beliau ingin tahu sama ada kerajaan bercadang mengenakan hukuman yang lebih berat terhadap kontraktor yang melakukan kecuaian hingga menyebabkan kemalangan maut supaya tidak berulang pada masa akan datang.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad berkata, kementerian mempunyai beberapa SOP yang digunakan ketika kerja penyelenggaraan jalan.

“Kita akan jalankan kerja penyelenggaraan jika didapati keadaan jalan raya perlu diperbaiki kecuali arahan yang kita berikan seminggu sebelum perayaan dan seminggu selepas perayaan, kita tidak laksanakan kerja pembaikan.

Berhubung tindakan terhadap kontraktor yang tidak mengikut SOP, katanya kementerian akan mengeluarkan surat arahan kepada syarikat konsesi supaya tindakan pembetulan dilaksanakan, iaitu amaran pertama.

Katanya, ini diikuti arahan pemberhentian kerja dan membuat pemotongan bayaran jika kontraktor masih tidak melaksanakan tanggungjawab. – HARAKAHDAILY 31/10/2023

- Advertisement -