Andalusia Travel tawar pakej umrah istimewa RM4,990

Sebahagian daripada 364 jemaah di bawah pengurusan pakej istimewa Andalusia yang berkumpul di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berlepas ke Makkah pada lewat malam tadi, 30 Okt 2023. (FOTO: HARAKAHDAILY/ Norhana Mat Zin)
- Advertisement -

SEPANG: Syarikat pengendali pakej ibadah haji dan umrah ternama, Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. (Andalusia Travel) sekali lagi memberikan Pakej Istimewa Umrah serendah RM4,990 kepada 364  jemaah untuk menunaikan ibadah umrah ke Tanah Suci Makkah pada bulan ini.

Ahli Lembaga Pengurusan Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd., Norrul Balqes Abu Baker, berkata tawaran itu diperkenalkan bertujuan untuk membantu jemaah yang terkesan dengan pandemik Covid-19; dan  tidak berkemampuan untuk mengerjakan umrah dengan harga semasa.

- Advertisement -

Beliau berkata demikian ketika hadir di Balai Pelepasan, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada lewat malam tadi (30 Okt) bagi menyempurnakan persiapan akhir jemaah sebelum berangkat ke Makkah. 

Menurut beliau, pakej yang diperkenalkan itu juga bertujuan membantu meringankan beban golongan B40 untuk menunaikan umrah dengan harga mampu milik.

“Pakej yang pihak kami tawarkan kepada jemaah adalah untuk tempoh 12 hari 10 malam, yang mana pakej ini sudah termasuk kos penginapan, penerbangan dan makan-minum para jemaah sepanjang melaksanakan ibadah berkenaan.

“Dalam bulan (Okt) ini, pihak kami juga telah membuat dua penerbangan untuk jemaah. Penerbangan pertama melibatkan seramai 183 peserta telah pun selamat berlepas ke Makkah pada 27 Okt lalu (Jumaat). 

“Sementara penerbangan kumpulan kedua untuk mengerjakan ibadah umrah adalah pada awal pagi hari ini (31 Okt) melibatkan 181 jemaah,” jelasnya. 

Sehubungan itu, Norrul Balqes berkata setakat ini hampir 35,000 jemaah telah membuat pendaftaran di agensi Andalusia Travel bagi pakej musim 1445H.  

“Bagi musim 1444H, Andalusia Travel telah berjaya membawa seramai 48,000 jemaah ke Tanah Suci Makkah.

“Kos yang ditawarkan ketika itu adalah bermula dari RM6,990 iaitu pakej 12 hari 10 malam termasuk penerbangan pergi dan balik, tempat penginapan (hotel) dan keperluan makan dan minum para jemaah ketika berada di sana,” ujarnya lagi.

Tambah beliau, Andalusia Travel juga ada membuat pakej Rahmah kepada jemaah, yang mana kosnya bermula dengan harga RM5,590 setiap seorang untuk penerbangan Air Arabia dan RM5,990 seorang masing-masing untuk penerbangan Saudi Airlines dan Malaysia Airlines. 

Beliau mengatakan juga dari segi perbezaan dengan pakej biasa, ia hanya terletak pada jarak antara hotel di Makkah yang sedikit jauh, namun dari segi kemudahan dan layanan menunaikan umrah lain adalah   tetap sama seperti pakej-pakej yang lain.

“Sementara, dari segi syarat-syarat yang layak menerima pakej ini adalah berdasarkan kepada ‘siapa cepat yang membuat pendaftaran serta bayaran, dia yang dapat pergi dulu. Pendaftaran juga sentiasa dibuka selagi tiket penerbangan masih ada,” katanya. – HARAKAHDAILY 31/10/2023

- Advertisement -