
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan menyasar melepaskan lebih sejuta benih ikan dan udang galah ke dalam sungai di negeri itu menjelang tahun hadapan.
Pengerusi Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi Negeri, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata langkah itu adalah sebagai usaha untuk menambah stok ikan bagi meningkatkan keterjaminan bekalan makanan.
Menurutnya, pengurusan dan pemuliharaan sumber perikanan darat yang dilakukan dengan konsisten secara tidak langsung dapat meningkatkan sosioekonomi dan pendapatan nelayan tempatan.
“Tahun ini sebanyak kira-kira satu juta ekor benih ikan dan udang galah dilepaskan ke sungai Kelantan, antaranya ikan kelah, sebarau, lampam sungai, baung, terbul, siakap dan udang galah.
“Program pelepasan benih ikan tersebut dengan kerjasama Jabatan Perikanan bagi memberi kesedaran kepada orang awam terhadap kepentingan memulihara ekosistem perikanan darat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas perasmian program Karnival Jualan Agromadani Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Negeri Kelantan di pekarangan Mydin Mall, Tunjong, di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang Negeri, Mohd Hanifa Awang Su.
Tuan Mohd Saripudin juga berkata, pelepasan benih ikan dan udang bertujuan untuk memastikan stok ekosistem berkenaan sentiasa ada di sungai-sungai utama.
Tambahnya, program pelepasan benih berkenaan dilaksanakan di Kelantan sejak tahun 2019 dan berterusan sehingga sekarang bagi membantu nelayan darat dan petani.
“Kerajaan negeri juga memberi bantuan kepada nelayan kemudahan seperti pukat. Dijangka melalui usaha tersebut dapat membantu nelayan menjana pendapatan sehingga RM100 sehari,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/10/2023




















