
BENTONG: Walaupun berperanan sebagai pembangkang yang efektif namun PERIKATAN NASIONAL sentiasa berusaha untuk menjadi kerajaan sama ada di peringkat Persekutuan atau negeri seperti di Pahang.
Namun, menurut Ahli Parlimen Jerantut, Ir. Ts. Khairil Nizam Khirudin, semua usaha dan tindakan yang dilakukan adalah dengan saluran dan kaedah yang dibenarkan demokrasi.
“Dan kita akan berusaha seboleh mungkin dengan apa jua cara yang dibenarkan oleh saluran demokrasi untuk menggantikan kerajaan yang ada sekarang ini di peringkat negeri Pahang, insya-Allah
“Ingat, kita kata melalui saluran demokrasi, bukannya dengan cara duduk di atas jalan; membuat pelbagai janji-janji palsu; meruntuhkan kerajaan dengan cara tidak demokrasi,” ujarnya.
Beliau yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat berkata demikian semasa berucap dalam program Ceramah Perdana Pelangai Bersedia Berubah di Dataran Purnama, Simpang Pelangai, malam tadi.
Justeru, katanya, kemenangan calon PERIKATAN NASIONAL bagi DUN Pelangai akan menambah kerusi parti itu daripada 17 kepada 18 kerusi yang mendekatkan lagi usaha untuk mengubah kerajaan di negeri ini secara demokrasi.
Tambah beliau lagi, Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) pula dilihat berkesan semasa memainkan peranan sebagai pembangkang berbanding semasa menjadi kerajaan.
Menurutnya, ini dapat dilihat dengan kekalutan yang sedang berlaku dalam pentadbiran kerajaan sekarang antaranya dalam soal bekalan makanan seperti beras dan kenaikan harga barang.
“Saya cadangkan kerajaan sekarang ni mereka ni pakar menjadi pembangkang. Kita jadikan mereka pembangkang. Biar kita jadi kerajaan,” ujarnya.
Oleh sebab itu, kata Khairil, rakyat di Pelangai harus bersama-sama dengan PERIKATAN NASIONAL dengan mengundi Cikgu Kasim Samat dalam membuat perubahan besar ini.
“Saya menyeru dan merayu saya mohon kepada ibu ayah semua puan-puan sekalian khususnya juga kepada anak-anak muda dan mereka yang duduk di luar ni, tolong balik (mengundi).
“Jangan dengar cakap Menteri Besar Pahang tu. Balik. Bila kita balik kita bawa ibu ayah kita untuk mengundi pada 7 hari bulan nanti dan kita akan mengundi,” ujarnya.
Turut berucap ialah Setiausaha Agung PERIKATAN NASIONAL (PN), Dato’ Seri Hamzah Zainudin, Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Pengerusi PN Pahang, Dato’ Seri Saifuddin Abdullah, Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee dan Ahli Parlimen Maran, Dato’ Sri Dr Ismail Abd Muttalib. – HARAKAHDAILY 5/10/2023




















