
KUALA TERENGGANU: PAS belum memutuskan calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman sekali gus menolak dakwaan bakal meletakkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Menurut Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, setakat ini belum ada perbincangan bersama pimpinan tertinggi parti mengenai persiapan bagi menghadapi pilihan raya berkenaan.
“Saya tak dengar pula ura-ura tentang hal itu, saya baca dalam media sahaja, tiada perbincangan ke arah itu.
“Kami sebenarnya belum ‘sit down’ (duduk) di kalangan pimpinan tertinggi untuk berbincang bagi persiapan menghadapi pilihan raya terutama penentuan calon dan termasuklah negeri-negeri mana yang akan jadi negeri membantu di peti-peti undi di Parlimen Kemaman.
“Itu pun belum lagi kami bincang, tarikh nak bincang pun belum ada lagi dan minggu depan baru ada, kemungkinan ke Kuala Lumpur,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, di sini, semalam.
Dalam pada itu, Ahmad Samsuri yang juga Pengerusi PERIKATAN NASIONAL (PN) Terengganu juga tidak menolak kemungkinan akan mempertaruhkan penyandang kerusi, Che Alias Hamid untuk mewakili PAS sekali lagi pada PRK Parlimen Kemaman.
Menjawab kemungkinan meletakkan calon Bersatu, Ahmad Samsuri berkata, setakat ini, tidak ada cadangan sedemikian memandangkan kerusi berkenaan adalah milik PAS.
“Selagi tidak dinamakan calon jadi ia terbuka. Namun setakat ini kita akan mengekalkan kerusi tradisi, calon adalah daripada PAS,” ujarnya.
Mengenai PAS tidak melakukan rayuan sehingga timbul pelbagai tohmahan daripada segelintir pihak, Ahmad Samsuri berkata, perkara itu tidak boleh dihalang.
“Kita tidak dapat menghalang mana-mana individu membuat tanggapan atau tohmahan, situasi yang dihadapi sekarang sama dengan Kuala Terengganu, kita ambil langkah taktikal pada waktu itu dengan bersedia menghadapi PRK.
“Cuma situasinnya berbeza kerana PRK Kuala Terengganu sama dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan, tetapi fakta kes itu tetap sama, jadi tidak adil kalau Kuala Terengganu kita tidak rayu dan tiba-tiba di Kemaman kita membuat rayuan.
“Apa yang paling penting kita hadap pilihan raya ini dengan segera supaya masyarakat Kemaman tidak tertunggu-tunggu siapa yang mewakili mereka kerana proses rayuan mengambil masa yang lama, jika dibiarkan sehingga bulan Januari akan timbul cerita lain di saat menghadapi banjir dan sebagainya,” ujarnya.
Pada 26 September lalu, Mahkamah Pilihan Raya Kuala Terengganu telah membenarkan Petisyen Pilihan Raya P.040 Kemaman dengan kos sebanyak RM30,000.
Hakim Pilihan Raya Datuk Anselm Charles Fernandis memutuskan sedemikian dan selanjutnya mengisytiharkan bahawa Che Alias Hamid telah dilapor pilih secara tidak sah sebagai Ahli Parlimen bagi Bahagian Pilihan Raya P.040 Kemaman pada 19 November 2022 lalu.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 lalu, Che Alias memenangi kerusi Parlimen Kemaman dengan majoriti 27,179 undi apabila memperolehi 65,714 undi menewaskan Dato’ Seri Ahmad Said (BN-Umno) yang mendapat 38,535 undi, Hasuni Sudin (PH-PKR – 8,340) dan Rosli Ab Ghani (Pejuang – 506). – HARAKAHDAILY 5/10/2023











