
Dalam satu pengumuman mengejut setahun lebih awal daripada yang dirancang, FIFA mengumumkan pemberian hak penganjuran Piala Dunia 2030 kepada Maghribi, Sepanyol dan Portugal.
Pada masa sama, Uruguay, Argentina dan Paraguay akan menganjurkan tiga perlawanan bagi menandakan ulang tahun kejohanan itu.
Mengikut FIFA, bidaan bersama Maghribi, Portugal dan Sepanyol adalah calon tunggal untuk menganjurkan kejohanan itu.
Piala Dunia sulung pada tahun 1930 diadakan di Uruguay dan dimenangi oleh tuan rumah yang mengalahkan Argentina dalam perlawanan akhir di Montevideo.
“Majlis FIFA sebulat suara bersetuju bahawa pencalonan tunggal, iaitu bidaan bersama Maghribi, Portugal dan Sepanyol, akan menganjurkan acara itu pada 2030 dan layak secara automatik daripada peruntukan slot sedia ada tertakluk kepada penyempurnaan proses bidaan yang berjaya dijalankan oleh FIFA dan keputusan Kongres FIFA pada 2024,” kata FIFA dalam satu kenyataan.
“Mengambil kira konteks sejarah Piala Dunia FIFA buat julung kali, Majlis FIFA sebulat suara bersetuju untuk menganjurkan majlis sambutan ke-100 tahun yang unik di ibu negara Uruguay, Montevideo… serta setiap satu perlawanan Piala Dunia di Uruguay, Argentina dan Paraguay.”
Berikutan Piala Dunia di enam negara dua hemisfera berbeza, ini mungkin bermakna beberapa pasukan bermain peringkat kumpulan dalam musim yang berbeza.
Piala Dunia 2022 diadakan di Qatar, tetapi dialihkan dari kebiasaan pada pertengahan tahun kepada November dan Disember untuk mengelak daripada bermain pada musim panas terik di Teluk.
“Argentina adalah juara bertahan dan persatuan bola sepak negara itu meminta pasukan mereka dapat bermain perlawanan pertama peringkat kumpulan pada 2030 di tempat sendiri dan bersama rakyat.
“Dalam dunia yang berpecah, FIFA dan bola sepak bersatu,” kata Presiden FIFA, Gianni Infantino.
“Majlis FIFA… sebulat suara bersetuju untuk meraikan ulang tahun ke-100 Piala Dunia FIFA, yang edisi pertama dimainkan di Uruguay pada 1930 dengan cara yang paling sesuai.
“Hasilnya, satu perayaan akan berlangsung di Amerika Selatan dan tiga negara Amerika Selatan – Uruguay, Argentina dan Paraguay – akan menganjurkan masing-masing satu perlawanan Piala Dunia FIFA 2030.”
Infantino berkata, perlawanan pertama daripada tiga perlawanan ini akan dimainkan di Estadio Centenario di Montevideo, tempat Piala Dunia pertama berlangsung pada 1930.
Presiden Persatuan Bola Sepak Paraguay, Robert Harrison berkata, Argentina, Uruguay dan Paraguay akan layak secara automatik ke Piala Dunia, tetapi tidak menjelaskan apa maknanya untuk pertandingan kelayakan Amerika Selatan.
Paraguay memenangi kejuaraan Copa America dua kali, tetapi kali terakhir layak ke Piala Dunia pada 2010 apabila tersingkir di suku akhir — keputusan terbaik negara itu dalam Piala Dunia.
Negara itu tidak menduduki tempat lebih tinggi daripada tempat ketujuh dalam kelayakan Piala Dunia Amerika Selatan untuk edisi 2014, 2018 dan 2022.

Piala Dunia kembali ke Sepanyol
Walaupun Portugal dan Maghribi tidak pernah menjadi tuan rumah Piala Dunia, Sepanyol kali terakhir menganjurkan kejohanan itu pada 1982.
Presiden Jawatankuasa Pengurusan Persekutuan Bola Sepak Diraja Sepanyol, Pedro Rocha berkata, mereka teruja untuk membawa kembali ke negara itu yang memenangi Piala Dunia pada 2010.
“Saya yakin bersama Maghribi dan Portugal, kami akan menganjurkan Piala Dunia terbaik dalam sejarah,” katanya.
Portugal yang menjadi tuan rumah Kejohanan Eropah pada 2004, akhirnya berjaya dalam proses bidaan Piala Dunia selepas gagal mendapat hak penganjuran untuk edisi 2018 dan 2022 bersama Sepanyol.
Presiden Persekutuan Bola Sepak Portugal, Fernando Gomes berkata: “Setiap negara…kami membawa tradisi bola sepak yang bertenaga, pengalaman organisasi yang tiada tandingan dan kapasiti untuk inovasi yang sudah pasti akan meninggalkan jejaknya pada masa depan pertandingan.”
Raja Maghribi, Mohammed VI mengalu-alukan keputusan FIFA. Negara Afrika itu mengejutkan dunia di Qatar tahun lalu apabila menjadi pasukan pertama dari benua itu mara ke separuh akhir.
“Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Raja Mohammed VI… dengan sukacitanya mengumumkan kepada rakyat Maghribi bahawa Majlis FIFA telah sebulat suara memilih bidaan Maghribi-Sepanyol-Portugal sebagai calon tunggal untuk menganjurkan Piala Dunia bola sepak 2030,” kata Pejabat Diraja Maghribi dalam satu kenyataan.
Maghribi akan menjadi negara Afrika kedua yang menjadi tuan rumah Piala Dunia selepas Afrika Selatan pada 2010.
Keputusan itu dibuat beberapa hari selepas Maghribi dipilih menjadi tuan rumah Piala Negara-Negara Afrika 2025, berikutan penarikan bidaan saingan dan sebulan selepas gempa bumi di negara itu yang mengorbankan hampir 3,000 orang.
Bola sepak memainkan peranan besar dalam kehidupan Maghribi dengan kelab utama negara itu sering memenangi pertandingan kelab Afrika dan menarik orang ramai ke stadium bandar besar.
Maghribi juga telah meningkatkan kapasiti dua stadium terbesar di Rabat dan Tangier.
FIFA juga menyatakan bahawa Piala Dunia 2034 akan diadakan di rantau Asia atau Oceania dengan persatuan bola sepak wilayah tersebut dijemput untuk membida menjadi tuan rumah kejohanan itu.
Menurut agensi berita Arab Saudi, SPA, negara itu mengumumkan hasrat untuk membida edisi 2034. Negara itu akan menjadi tuan rumah Piala Dunia Kelab FIFA pada Disember ini.
Edisi 2026 akan dihoskan oleh Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico. – REUTERS











