Penarikan semula kes Zahid malapetaka negara – Fayhsal 

Wan Ahmad Fayhsal
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penarikan semula kesemua 47 pertuduhan kes mahkamah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sabit dakwaan rasuah adalah satu malapetaka untuk negara Malaysia.

Ketua Armada BERSATU Malaysia, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, kes melibatkan Timbalan Perdana Menteri tersebut telah berjaya dibuktikan oleh ketua pendakwaan sebelum ini, Datuk Raja Rozela Raja Toran sebagai kes prima facie (kemunculan pertama).

- Advertisement -

“Namun, ini merupakan sesuatu perkara yang amat mengejutkan yang mana Ahmad Zahid tidak dibiarkan untuk membela diri tetapi menarik semula kes ini sedangkan kes ini semakin hampir menemui penyelesaian di akhir perbicaraan,” katanya.

Tambah beliau, keputusan sebegini telah mewujudkan contoh yang buruk dan memberikan kecelakaan kepada sistem keadilan yang sedia ada di negara ini.

Beliau turut mempersoalkan penarikan semula kes Ahmad Zahid di akhir perbicaraan jika benar Ahmad Zahid dapat membuktikan bahawa dirinya tidak bersalah terhadap setiap rakyat di negara ini dalam 47 pertuduhan kesnya.

“Jika benar Ahmad Zahid mempunyai  pembelaan yang baik dan dapat membuktikan dirinya tidak bersalah sama sekali maka seharusnya tidak berlakunya perkara sebegini,

“Ini kerana kes sebegini bukan sahaja dikategorikan sebagai prima facie tetapi memberikan kesan mendalam terhadap sistem keadilan negara kita yang jika tersilap langkah boleh membawa malapetaka yang amat besar,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam akaun laman sosial Facebook miliknya yang memberikan pandangan dan respon terhadap isu tersebut semalam.

Menurut beliau, Perdana Menteri terkini adalah orang paling gembira mengenai kes sebegini memandangkan pembebasan Zahid Hamidi daripada 47 kes pertuduhan dapat mengukuhkan lagi kedudukan kerajaan persekutuan sedia ada.

“Sudah tentu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah orang paling gembira dengan berita sebegini kerana dapat mengukuhkan lagi kedudukan kerajaannya,

“Akan tetapi keputusan sebegini juga memberikan imej yang amat buruk kepada negara ini memandangkan ianya memberikan kesan yang mendalam terhadap sistem keadilan yang ada di negara ini,” katanya. – HARAKAHDAILY  5/9/2023

- Advertisement -