
KUANTAN: PERIKATAN NASIONAL (PN) menyuarakan kebimbangan terhadap pindaan undang-perumahan Pahang apabila pindaan itu menyebabkan kerajaan negeri seolah-olah menyerahkan kuasa kepada kerajaan Pusat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Cheka, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata pindaan itu menyebabkan bidang kuasa kerajaan negeri sebelum ini, dipindahkan kepada kuasa menteri dan Menteri Kewangan.
Beliau yang juga ketua pembangkang berkata, perkara yang dibangkit oleh Adun Beserah, Andansura Rabu ialah kesannya yang boleh menimbulkan masalah birokrasi, iaitu akan melambatkan proses sesuatu perkara.
“Sebagai contohnya dari segi pelaburan, pindaan ini menyebabkan mana-mana pihak yang hendak melabur dalam perumahan di Pahang perlu mendapat kelulusan Kementerian Kewangan yang sebelum ini di bawah kuasa Menteri Besar.
“Itu yang menyebabkan kita melihat pindaan ini akan menambah birokrasi,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Ke-2 Penggal Ke-2 Dewan Negeri Pahang Ke -15 di sini, hari ini.
Dari segi politik, Tuan Ibrahim yang juga Timbalan Presiden PAS berkata: “kita tak tahu bagaimana jika negeri tidak selaras dengan Pusat nanti, akan melambatkan proses dan sebagainya.
“Maklumlah ini berdasarkan pengalaman di Kelantan, Terengganu dan Kedah. Kita bimbang pindaan itu akan menimbulkan birokrasi yang lebih menyusahkan.”
Sehubungan itu, katanya PN sedang meneliti sama ada pindaan itu adalah sesuatu yang diminta oleh kerajaan Pusat kepada semua negeri atau hanya Pahang.
Mengulas sidang Dun hari ini, katanya sidang kali ini adalah singkat, iaitu setengah hari dengan dua Rang Undang-Undang (RUU) dibentangkan, iaitu perbekalan tambahan dan perumahan.
“Saya tengok tak banyak perkara yang boleh kita bahaskan kali ini sebab sebahagian itu, contohnya peruntukan tambahan, kita teliti ada satu dua yang dibangkitkan, peruntukan tambahan yang agak luar biasa, kita bertanya dan penjelasan telah diberi,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/9/2023











