MB Kedah sedia terima teguran rakyat 

- Advertisement -

ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengalu-alukan sebarang teguran sekiranya terdapat kekurangan dan kesalahan yang dilakukannya dan 32 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di bawah PERIKATAN NASIONAL (PN).

“Saya berharap teguran yang dilakukan biarlah berhikmah dan bukannya membuka kelemahan secara terbuka kepada orang ramai.    

- Advertisement -

“Insya-Allah, 33 ADUN PN akan memberi komitmen yang terbaik. Apa-apa kekurangan dan kesalahan, kami sedia menerima teguran cuma jangan fitnah,” katanya ketika berucap pada Himpunan Mandat Rakyat di Kompleks PAS Kedah, malam tadi. 

PRN Sabtu lepas PN Kedah mencipta sejarah apabila menang bergaya di 33 Dewan Undangan Negeri (DUN). 

Menurutnya, menang sebagai ADUN bukan tiket untuk menjadi kaya apatah lagi melonjakkan kedudukan sehingga menjadi ‘super kaya’.

Bagaimanapun, katanya lagi,  atas keperluan kerana menjalankan tugas untuk rakyat mereka dibolehkan memiliki kenderaan yang lebih baik, namun tidak boleh berlebih-lebihan. 

“ADUN nak pakai kenderaan elok sikit sebab nak jalankan tugasan, bawa barang bantuan ke kampung-kampung atau sebagainya, boleh. 

“Atas keperluan, rakyat pun faham dan boleh terima,” tegas beliau.

Bagaimanapun Sanusi berkata, pihaknya tidak akan bekerjasama dengan mana-mana ADUN yang didapati terlibat dengan salah guna kuasa atau skandal rasuah.

“Sekiranya ada bukti, pihaknya tidak teragak-agak membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) dan mengheret ke muka pengadilan. 

“Namun, saya beri jaminan dan memastikan salah laku seumpama itu tidak akan dilakukan mana-mana ADUN PN yang telah diberi mandat rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/8/2023

- Advertisement -