Rakyat yakin tuduhan kepada PN adalah fitnah

Bukti rakyat percaya dengan beri majoriti besar bersejarah

- Advertisement -

KUALA KEDAH: PERIKATAN NASIONAL (PN) menerima mandat dengan memperolehi majoriti sangat besar yang tidak pernah berlaku dalam sejarah negeri Kedah, sekali gus menunjukkan kepercayaan rakyat.

Pengerusi PN Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi mengimbau beberapa DUN yang tidak pernah dimenangi atau hanya dimenangi dengan majoriti di bawah 1,000, tetapi kini menang besar hingga melebihi 20,000 majoriti.

“Maknanya bukan saja ahli PAS, bukan sahaja ahli BERSATU, tapi ramai orang lain yang tidak berparti, yang duduk atas pagar, yang first time voters ni semua balik mengundi PN pada kali ini,” ujarnya pada Himpunan Mandat Rakyat, di sini semalam.

Menurut beliau, semua pihak dapat melihat sendiri segala disebut dan dilakukan PAS selama lima tahun kebelakangan ini terutama tiga tahun PN sebagai kerajaan yang menunjukkan penerimaan rakyat.

Jelas Sanusi, ia diterjemahkan ke peti undi hingga terdapat kalangan ADUN hingga memperolehi lebih 24,000 majoriti undi yang menjadi manifestasi kehendak rakyat kepada perjuangan PN menguruskan kehidupan mereka.

Katanya juga, PN telah menggalas amanah tersebut selama tiga tahun dengan serba susah payah dan sekiranya benar ada terpalit isu sebagaimana tuduhan lawan politik semasa PRN ini, tentulah rakyat menolak PN.

“Siapa-siapa yang terpalit dengan kerja-kerja bodoh ini (rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa), serangan Kerajaan Persekutuan dan segala jenteranya sepanjang kempen ini tentulah telah menyeret sebahagian kita masuk dalam (tahanan dan pendakwaan).

“(Tetapi) Oleh kerana kita bersih, kita tidak pernah terpalit dengan sebarang skandal. Kita tidak mencari kekayaan dengan kedudukan ini. Kita tidak buat benda yang rakyat marah. Maka serangan bertali arus selama berminggu-minggu ke atas kita dapat dihadapi.

“Pasal kita yakin oleh kerana kita benar, kita ikhlas, kita telah bekerja semata-mata untuk untuk negara ini, untuk rakyat negeri ini, Lillahi Taala, (maka) Allah lindungi kita, atas kejahatan mereka yang telah menuduh kita bermacam-macam. 

“Walaupun mereka berhenti ataupun mereka tak mahu berhenti di atas kejahatan itu, kita yakin Allah akan terus bersama kita,” ujarnya penuh optimis.

Tambahnya, sebagai sebuah kerajaan negeri yang terhad tenaga, jentera dan bidang kuasa, sekiranya melakukan kejahatan seperti mereka itu, maka sudah tentu akan berdepan dengan kekalahan. 

Sanusi memetik pesanan Saiyidina Umar al-Khatab RA kepada Saad Abi Waqqas untuk mengetuai peperangan dengan nasihat untuk tidak melakukan kemaksiatan atau kejahatan sebagaimana dilakukan musuh.

Kerana katanya, pasukan dimiliki adalah lebih lemah dan kecil berbanding musuh yang serba kuat dan ramai, tetapi itu bukan sebab akan tewas, sebaliknya jika melakukan maksiat atau kejahatan.

“Dengan ikhlas, benar, lurus, bersih, kita semua PN (ini), saya yakin kita akan tewaskan mereka di peringkat Persekutuan dalam PRU16. Oleh yang demikian, cabaran terbesar para ADUN, para pimpinan PN ialah kekal, bersih dan stabil sampai ke hujungnya,” seru beliau. – HARAKAHDAILY 14/8/2023

- Advertisement -
- Advertisement -