
XIAN, China: Angka kematian akibat banjir lumpur berhampiran bandar Xian di barat laut China telah meningkat kepada 21 orang, dengan enam orang masih hilang, ketika China bergelut dengan hujan musim panas yang melanda dalam jumlah yang luar biasa.
China telah menghadapi banjir maut dan hujan paling dahsyat dalam sejarah China, sejak beberapa minggu kebelakangan ini, dengan berpuluh-puluh mangsa terbunuh dalam ribut di bahagian utara negara itu.
Banjir kilat gunung di kampung Weiziping, di selatan Xian dalam wilayah Shaanxi, menyebabkan tanah runtuh pada Jumaat (11 Ogos) yang menghanyutkan dua buah rumah dan merosakkan jalan-jalan raya, jambatan, memusnahkan bekalan elektrik dan infrastruktur lain, lapor radio awam negara itu, CNR sebelum ini.
“Seramai 21 mangsa ditemui mati setakat ini, dan enam lagi masih hilang,” kata biro pengurusan kecemasan Xian dalam satu kenyataan pada lewat Ahad (13 Ogos).
“Sehingga kini, seramai 186 orang telah dipindahkan dan ditempatkan semula…dengan 49 stesen pangkalan komunikasi di kawasan yang dilanda bencana telah menyambung semula perkhidmatan, dan bekalan kuasa elektrik telah disambung semula di 855 rumah,” tambah kenyataan itu.
Menurut kenyataan biro pengurusan kecemasan Xian lagi, lebih 980 anggota telah digerakkan untuk usaha menyelamat, menggunakan pengesan nyawa dan anjing pencari.

Taufan Khanun, yang melanda beberapa bahagian Jepun dan Korea Selatan sebelum ini, lemah menjadi lekukan tropika apabila ia mendarat di wilayah Liaoning di timur laut China pada malam Jumaat (11 Ogos) lalu.
Namun, hujan lebat yang melanda masih menimbulkan risiko banjir terhadap bandar-bandar di kawasan rendah termasuk Anshan, yang meyaksikan 17,859 penduduk telah dipindahkan, lapor pula agensi berita CCTV.
“Hujan semalaman di Liaoning memuncak pada 52 milimeter sejam, dengan empat takungan air melebihi had banjir,” ujar laporan itu.
Hujan lebat yang memecahkan rekod baru-baru ini menyusuli musim panas selama berminggu-minggu, dengan saintis berkata, kejadian cuaca ekstrem sebegitu diburukkan lagi oleh perubahan iklim.
Terdahulu, media tempatan melaporkan pada Jumaat (11 Ogos) bahawa 29 orang maut akibat banjir di wilayah Hebei selepas ribut Doksuri yang melanda tanah besar China sebagai taufan pada akhir Julai membawa hujan paling teruk dalam sejarah negara itu sejak rekod dicatat bermula 140 tahun lalu.

Ketua parti wilayah Hebei, Ni Yuefeng berkata, ketika lawatan ke komuniti terjejas pada minggu lalu. kawasan itu boleh mengurangkan tekanan terhadap kawalan banjir Beijing dan berfungsi sebagai ‘parit’ untuk ibu negara China itu.
Pihak berkuasa pada minggu ini berkata, sekurang-kurangnya 33 orang maut di Beijing, termasuk dua pekerja penyelamat; dan lebih sedozen orang terbunuh di wilayah Jilin di timur laut China selepas hujan lebat melanda sepanjang minggu lalu.
Di wilayah jiran Liaoning, dua kematian dilaporkan selepas beberapa hari pertama hujan lebat melanda pada akhir Julai.
Sekurang-kurangnya tujuh orang pula maut dalam banjir kilat di barat daya ibu kota Sichuan, Chengdu minggu ini selepas air pasang yang tidak dijangka menghanyutkan sejumlah pelancong di Sungai Longxi.
“Sementara di Gansu, lima orang terbunuh apabila mereka dihanyutkan oleh arus gunung selepas amaran ribut hujan pada Khamis,” lapor agensi berita, Xinhua.
Sementara CCTV melaporkan bahawa Ibu Pejabat Kawalan Banjir dan Bantuan Kemarau Negeri China dan Kementerian Pengurusan Kecemasan mengadakan mesyuarat khas pada Ahad (12 Ogos) untuk membincangkan langkah pencegahan banjir dan tindakan kecemasan di wilayah yang terjejas teruk seperti Liaoning, Shaanxi, Tianjin dan Chongqing. – HARAKAHDAILY 14/8/2023




















