
PAS Kedah merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada YAB Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi bin Md Nor yang telah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah bagi penggal seterusnya.
PAS Kedah mengharapkan agar beliau dapat terus menabur khidmat bakti dan menjalankan tugasnya dengan penuh amanah, bertanggungjawab dan berintegriti.
PAS Kedah akan sentiasa mendukung aspirasi YAB Menteri Besar dalam membawa Kedah dan rakyatnya kepada kemakmuran, kesejahteraan dan kemajuan sebagaimana yang digariskan dalam Pelan Kedah 2035.
Penerusan budaya politik matang yang menjadi kerangka baru politik di negeri ini juga wajar diteruskan. Perbezaan atas nama agama, ras, budaya dan ideologi politik harus diketepikan dalam menjalankan khidmat kepada rakyat.
PAS Kedah turut mendukung penuh amanat beliau yang disampaikan semalam khusus kepada para wakil rakyat yang dilantik. PAS Kedah senada dalam memberikan penegasan kepada semua yang diangkat oleh rakyat supaya menjalankan tugasan dengan sesempurna mungkin.
Bahkan, PAS Kedah ingin mengulangi ketegasan yang sama kepada para ADUN supaya tidak menjadikan jawatan sebagai tiket untuk mendapat habuan duniawi. Tidak ada pembelaan akan diberikan kepada mana-mana wakil rakyat mahupun sesiapa yang bersekongkol melanggar undang-undang.
PAS Kedah sekali lagi mendoakan agar YAB Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor selaku Menteri Besar yang baharu serta seluruh ADUN PERIKATAN NASIONAL mendapat bimbingan Allah S.W.T sepanjang berkhidmat kepada rakyat.
Semoga Allah S.W.T merahmati kalian insya-Allah.
Sekian.
DATO’ HAJI AHMAD YAHAYA
Pesuruhjaya
PAS Negeri Kedah
14 Ogos 2023 / 27 Muharram 1445H – HARAKAHDAILY 14/8/2023











