
MAUI: Kebakaran hutan Lahaina di Maiu, Hawaii yang bergerak dengan kelajuan 1 batu (1.6 kilometer) seminit telah meragut sekurang-kurangnya 96 nyawa sehingga jam 9.45 malam Ahad (13 Ogos) waktu tempatan.
Jabatan Polis Maui dalam kenyataannya pada jam 9 malam Ahad mengesahkan jumlabh mangsa yang terkorban akibat kebakaran hutan yang dahsyat di Maui itu kini mencecah 96 orang.
Terdahulu, Gabenor Hawaii, Josh Green dalam satu kenyataan video berkata, apabila angin bertiup, pergerakan api yang merebak cepat mencecah 81 batu sejam.
“Kami percaya api bergerak antara 60 batu sejam dan 81 batu sejam merentasi bahagian pulau Maui, dan itu bermakna api bergerak satu batu setiap minit,” katanya, lapor CNN.
Green berkata, kerja-kerja sedang dipertingkatkan untuk menempatkan penduduk Lahaina yang dipindahkan ke penempatan sementara, dengan lebih 500 bilik hotel diperoleh melalui subsidi kerajaan.
“Sebilangan mangsa sudah ditempatkan di hotel pada hari ini (13 Ogos, waktu Hawaii), dan kemudian bilangan besar esok dan hari-hari selepas itu,” ujar Green.

Menurutnya, rumah-rumah sewa juga akan digunakan untuk membantu mangsa yang dipindahkan bagi mencari rumah sementara.
“Airbnb akan menawarkan kami beratus-ratus penyewaan jangka pendek biasanya dalam kapasiti jangka panjang, jadi kami boleh meletakkan orang ramai di tempat itu selama berbulan-bulan,” katanya lagi.
Terdahulu, pihak berkuasa Maui telah mengeluarkan kemas kini mengenai keadaan kebakaran hutan di Maui, yang paling tragis pernah berlaku di Amerika Syarikat dalam tempoh lebih 100 tahun.
“Angka kematian rasmi kekal 93 orang (sehingga jam 3 petang, waktu tempatan), tetapi terdapat kemungkinan jumlahnya akan meningkat lagi,” tambah Green.

Laporan terkini mengenai kejadian itu yang telah memusnahkan Lahaina adalah 85 peratus terkawal dan dianggarkan merentasi kawasan mencecah 2,170 ekar. Usaha pencarian dan pemulihan sedang dijalankan.
Kebakaran di Upcountry/Kula pula kini 60 peratus dapat dikawal dan dianggarkan sudah merentas 678 ekar. Titik panas di selokan dan tempat lain yang sukar dijangkau, bersama dengan pembahagian tanah dan pagar, menjadikan kebakaran ini sukar dikawal,
Sementara kebakaran di Pulehu/Kihei i kekal 100% terkawal; dan di Puʻukoliʻi/Kaanapali yang mula dilaporkan kebakaran pada 11 Ogos lalu sebelum telah dipadamkan pada 12 Ogos.
“Apabila kebakaran 100 peratus berjaya dikawal, ini bermakna anggota bomba telah mengelilingi perimeternya sepenuhnya. Hanya sebaik sahaja kebakaran diisytiharkan ‘dipadamkan’ maka ia (malapetaka) berakhir,” ujar kenyataan pihak berkuasa Maui. – HARAKAHDAILY 14/8/2023




















