
KUALA KEDAH: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Negeri Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor menasihati ADUN-ADUN yang telah menang PRN agar menjaga kepercayaan besar telah diberikan rakyat.
“Janganlah terdetik di hati semua ADUN yang telah diberi amanah ini untuk mencari kebahagiaan untuk diri dan keluarga dulu. Ada dulu-dulu bila kita tanya apa perasaan YB bila jadi ADUN? Dia kata alhamdulillah rezeki anak-anak.
“Itu jawapan yang sangat mengecewakan. Ini bukan perjuangan hang dengan anak hang. Ini perjuangan untuk rakyat semua. Tak boleh terdetik di hati, alhamdulillah lepas ni aku senanglah, anak-anak aku pun jadi senang. Pasal aku jadi YB.
“Saya beri jaminan, selama saya diberi amanah mengetuai jentera Ahli-ahli Yang Berhormat peringkat DUN di Kedah ini, saya akan pastikan mereka ini semua tidak menjadi kaya. Mereka semua ini tidak akan pernah terpalit dengan sebarang skandal rasuah dan penyelewengan. Saya akan pastikan itu.
“Saya tidak izinkan mana-mana ADUN untuk berkejar ke sini mencari projek untuk diri atau kawan-kawan. Siapa yang terpalit, kita akan report terus kat SPRM, hangpa mai ambil orang ni. Angkut dia pi kurung. Kita tidak akan melindungi sesiapa.
“Kita buka pejabat kita, Pejabat MB-kah, Pejabat Exco-kah, Pejabat Pusat Khidmat (ADUN) 25 jam (sehari) SPRM boleh mai check bila-bila masa. Kita jamin tak ada, tak akan ada kes. Siapa pun nak mai, mailah.
“Itulah keazaman. Itulah yang diharapkan. Oleh rakyat yang telah memberi mandat kepada kita,” ikrarnya pada Himpunan Mandat Rakyat di Kompleks PAS Kedah, di sini semalam.
Menurut beliau, setiap peruntukkan yang dapat berdasarkan peraturan dan undang-undang di atas amanah itu cukup untuk melakukan khidmat sebagai wakil rakyat, manakala jika lebih daripada keupayaan tersebut, kerajaan negeri akan menanggung keperluan-keperluan berkenaan.
Beliau secara terbuka turut mengingatkan semua ADUN bahawa mereka akan mempunyai musuh-musuh baharu yang bukan lagi dalam kalangan parti politik lawan daripada Pakatan Harapan (PH) atau Barisan Nasional (BN).
Sebaliknya mereka itu katanya, adalah rakan-rakan dalam kalangan para peniaga dan usahawan yang cuba mengambil serta merebut kesempatan untuk berkawan dengan ADUN-ADUN sedia ada.
“Bila dia tak dapat, mula dia mereka cerita macam-macam. Hat itu kalau ada di kalangan kita, ahli-ahli perniagaan yang berhajat untuk mencapai sesuatu melalui ADUN ni pun, (mereka) silap kerana kita tak pakai lagi sistem itu!
“Semua kerja di Kedah ni kontrak apa pun cabut undi semua. Biar berlaku keadilan. Kalau nasib menyebelahi dia, cabut undi dapat kat dia, hang pi buat kerja. Jadi, ADUN ni tak terpalit lagi.
“Depa tak payahlah pi duk usung atas kawan. Pi duk melobi harta. Yang akan menimbul fitnah kemudiannya. Saya harap inilah gaya hidup, inilah budaya kerja, inilah asas yang kita letakkan untuk kita capai lebih besar kepercayaan rakyat,” ujarnya.
Menurut beliau lagi, 24 jam kehidupan sebagai wakil rakyat perlu fikir untuk membangunkan negeri ini bagi menghasilkan limpahan ekonomi yang lebih daripada sedia ada supaya lebihannya dapat dikongsi bersama rakyat.
Sehingga katanya, tidak ada lagi rakyat Kedah yang berasa susah dan kerja wakil rakyat ini adalah komitmen 33 ADUN PN Kedah di mana ikrarnya akan berjalan di atas landasan ini sampai PRU16.
Sanusi turut mengingatkan untuk waspada dengan cabaran besar serta rintangan di depan iaitu menghadapi tuduhan atau serangan serta perangkap yang dipasang oleh musuh untuk mengenakan.
“Kena berhati-hati 24 jam. Mungkin perangkap itu datang terus daripada musuh, mungkin juga perangkap itu datang menerusi kawan atau ahli keluarga kita. Ni besar dan penting untuk diawasi.
“Untuk kita pastikan amanah yang kita pikul ini benar-benar amanah yang diredai oleh tuhan,” ujarnya mengajak rakyat menilai yang telah dan akan dilakukan mereka. – HARAKAHDAILY 14/8/2023




















