
MARANG: Perubahan jawatan Menteri Besar Kelantan dan timbalannya tiada unsur desakan atau isu.
Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, pertukaran itu dibuat memandangkan kedua-dua pemimpin tersebut sudah lama mentadbir Kelantan.
“Tidak ada desakan. Memang lama sangat memerintah 30 tahun, letihlah orang yang bertugas tu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selepas menunaikan tanggungjawab mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) di Sekolah Kebangsaan Rusila, di sini, pagi ini.
Tambah beliau, keuzuran Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob juga menjadi salah satu faktor keputusan itu dibuat di samping mahukan semangat baru di Kelantan.
“Menteri besar mengundurkan diri kerana uzur bahkan dulu pun dia minta merayu supaya tidak dilantik, kita minta lagi, desak. Masa tengah-tengah bertugas itu pun dia minta juga.
“Memang keuzuran, beberapa kali masuk hospital dengan rawatan, kali ini kita pertimbanglah, kesian kepada beliau dan masih menjadi wakil rakyat.
“Kita mahu supaya semangat baru di Kelantan ada perubahan sebab itu timbalan juga diubah,” katanya.
Menurut beliau, pertukaran itu juga dilakukan bergantung perkenan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.
“Ya, kita buat pertukaran menteri besar dan timbalan ada pertukaran. Pengumuman itu bergantung kepada persetujuan Tuanku kerana pelantikan kerajaan melibatkan Tuanku, parti dan rakyat.
“Rakyat kita tidak tahu lagi, untuk parti sudah ada calon pun yang kita kemukakan kepada Tuanku dan perbincangan dengan Tuanku (akan) berlaku insya-Allah,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/8/2023




















