PN Kedah yakin pertahan kemenangan PRN

Muhammad Sanusi menyantuni ibu beliau ketika tiba di pusat pengundian di SK Bandar Baru Beris Jaya, Sik, Kedah pada hari ini, 12 Ogos 2023.
- Advertisement -

SIK: PERIKATAN NASIONAL (PN) Kedah diyakini mampu mempertahankan kemenangannya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md berkata, gerak hatinya sangat yakin berdasarkan gelombang sokongan rakyat terhadap PN semakin meningkat berbanding PR (Umum) November lalu.  

- Advertisement -

“Harapan untuk menang cerah malah sejak dua tiga hari yang lepas gelombang sambutan amat baik. Saya berharap sokongan ini diterjemah ke kertas undi hari ini,” katanya. 

Terdahulu, beliau keluar membuang undi di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru, Beris Jaya, kira-kira jam 11 pagi. 

Isteri beliau, Tok Puan Jusmalailani antara yang menemaninya ke pusat pengundian tersebut.

Bercakap berkenaan potensi PN di lima negeri lain,Pengarah Pilihan Raya PN berkata, akan terdapat beberapa tokoh besar Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) akan tumbang.

“Kemungkinan di beberapa Dewan Undangan Negeri (DUN),  tokoh-tokoh besar PH-BN akan tumbang dan beberapa calon ‘underdog’ PN akan menang.

“Kita ramai-ramai pakat tunggu malam ini,” tegas beliau

Ceria…Muhammad Sanusi melambaikan tangannya kepada penyokong ketika hadir untuk membuang undi.

Sementara itu menurutnya, sungguhpun tidak berlaku perubahan menyeluruh di enam negeri, namun kejutan akan berlaku di Selangor, Pulau Pinang  dan Negeri Sembilan. 

Beliau (penyandang)  bakal bertembung dengan pencabarnya, Dato’ Muhamad Khizri Abu Kassim (PH-BN) pada pertandingan dua penjuru di DUN Jeneri kali ini. 

Pada PRU14 lalu, Muhammad Sanusi (PAS) menang dengan majoriti 2,455 undi mengalahkan dua calon lain, Mahadzir Abdul Hamid (BN) dan Mohd Nazri Abu Hassan (PH).

DUN Jeneri mencatatkan 35,079 pengundi yang layak mengundi dengan lebih 90 peratus daripada pengundi adalah Melayu.

“Saya mengharapkan para pengundi keluar seramai mungkin untuk menunaikan tanggungjawab mengundi hari ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/8/2023

- Advertisement -