Punca ekonomi ‘gelap’, siapa bawa DAP jadi kerajaan?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan Perpaduan yang dinamakan kepada pemerintahan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) semakin menyerlahkan realiti sebenar hubungan antara parti-parti gabungan tersebut.

Keretakan, pertembungan dan perbalahan terbuka yang berlaku umpama ‘bangkai gajah tidak dapat ditutup’ sekali gus mengesahkan dakwaan banyak pihak mengenai kerapuhan koalisi politik tersebut.

Telahpun diramal tidak mampu bertahan, ‘perkahwinan paksa’ PH-BN bahkan dilihat songsang dan luar tabii berikutan saling menyerang keras satu sama lain sebelum PRU15, selain berbeza dasar diperjuangkan.

Malah, ikrar penafian dan sumpah dilafazkan, serta resolusi agung parti masing-masing, selain ‘kesumat dendam’ mahu dibalas, diyakini sebagai mustahil untuk hubungan kedua pihak dapat atau bakal terjalin.

Namun, semua itu telah menjadi sejarah, ditongsampahkan dan dihancurkan oleh kecurangan, pembohongan dan kemunafikan para pemimpin mereka demi mengejar dan memenuhi kepentingan sendiri.

Ketika ini, PERIKATAN NASIONAL (PN) sedang memacu dan menjamin rakyat kepada pemerintahan Bersih dan Stabil (BEST) serta persediaan dengan kekuatan yang cukup mantap untuk menghadapi PRN tidak lama lagi.

Malangnya, PH-BN dengan kelebihan kuasa yang ada pada mereka pula saling mendedah pekung, melondeh aib dan bercakaran kasar satu sama lain tanpa mampu diselindungkan lagi dari pemerhatian massa.

Bekas Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua paling terkini menggegarkan hubungan yang wujud apabila mengkritik Umno-BN sebagai ‘pakatan korup’ di mana mengundang reaksi marah di pihak parti Melayu itu.

Apatah lagi penyataan itu menyusuli banyak label terdahulu yang dikatakan sebagai tohmahan DAP terhadap Umno dan dituntut permohonan maaf oleh pihak Umno, tetapi tidak dipenuhi sehingga ke hari ini.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke biarpun segera ‘mengawal akibat’ menyatakan label itu mewakili pandangan peribadi, namun ramai melihat serangan Pua itu mengisyaratkan gelojak dalaman DAP.

Hentaman Tony Pua dilihat sebagai perasaan sebenar DAP terhadap Umno yang tidak dapat dibendung lagi oleh situasi semakin parah dan mencemaskan parti itu mendepani kemerosotan sokongan diterima PH-BN.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Isham Jalil sebagai membalas kritikan itu menggesa Pua mencadangkan kepada PH untuk berpisah dengan Umno dalam kerajaan dan kembali menjadi pembangkang.

Isham bahkan terpaksa menembak peluru yang ‘tersimpan’ selama ini apabila mengingatkan Pua bahawa pemimpin utama DAP, Lim Guan Eng juga berdepan pertuduhan berkaitan korupsi.

Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh yang sebelum ini mengetuai gerakan menggesa permohonan maaf dari DAP itu pula berhujah panjang mengemukakan fakta menyangkal label korup tersebut.

Beliau membandingkan pencapaian ekonomi Malaysia dipacu tinggi di bawah pentadbiran BN, berbanding zaman ‘gelap’ kejatuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) semasa 22 bulan ditadbir PH.

Akmal malah bagaikan menampar Tony Pua mengingatkan beliau adalah Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Guan Eng semasa pemerintahan PH yang turut dianggotai DAP pasca-PRU14 dahulu.

Ketua Pemuda PAS, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari dalam mengulas isu tersebut sekadar melontarkan pertanyaan sinikal yang sangat penting untuk direnungi Umno khususnya dan rakyat Malaysia amnya.

Oo… ye ke? Saya pun baru tahu fakta (DAP punca ekonomi ‘gelap’) ni. Sekarang ni ‘punca’ ekonomi gelap (itu) ada pula dalam pentadbiran negara. Mereka juga ada dalam pentadbiran negeri Perak dan Pahang.

“Siapa yang bawa ‘mereka’ ke dalam pentadbiran (kerajaan)?” soalnya dipercayai ditujukan kepada Umno untuk mengingatkan hubungan parti itu dengan DAP dalam Kerajaan Perpaduan kini. – HARAKAHDAILY 24/6/2023

- Advertisement -
- Advertisement -