Jprd Belantik juara bilik operasi paling lengkap Kedah

- Advertisement -

JERAI: Halwa Jabatan Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (Jprd) Belantik dipilih sebagai pemenang pertama pertandingan Bilik Operasi (BO) paling lengkap seluruh Kedah.

Halwa Belantik berjaya menewaskan 34 Halwa Jprd lain melalui penilaian yang diadakan pada Mei lalu.  

- Advertisement -

Hadiah berupa wang tunai dan sijil penghargaan disampaikan oleh Pengarah Pilihan Raya Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM), Noraini Husin dengan diiringi Ketua Dewan Muslimat PAS Kedah (DMPNK) Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali. 

Majlis yang diadakan bersempena Liqa’ Pasukan Kempen Penerangan di Dewan Masjid Al-Wusta, Guar Chempedak turut menyaksikan dua Halwa Jprd iaitu Kuala Ketil dan Tokai masing-masing dinobat sebagai pemenang ke dua dan ke tiga. 

Sementara para peserta juga didedahkan dengan perkembangan kemajuan kerajaan negeri Kedah yang disampaikan oleh wakil Urusetia Penerangan Darul Aman (UPDA), Abdul Hadi Omar. 

Selain sedikit halwa telinga berkenaan isu-isu nasional  dikongsi bersama oleh Ketua Penerangan DMPNK, Mardiyah Johari. 

Dalam pada itu Ketua DMPNK dalam ucapannya menggesa agar semua petugas kempen faham dan hadam terutama berkenaan isu-isu Kedah.

“Semua petugas kempen wajar menyediakan diri dengan maklumat yang tepat dan sahih untuk disampaikan kepada pengundi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti,” katanya. 

Dalam masa yang sama, Ashah turut menyentuh maklumat songsang yang dimainkan musuh politik PERIKATAN NASIONAL (PN) kononnya pendekatan kebajikan yang dilaksanakan kerajaan sekarang dipelopori oleh Barisan Nasional (BN) sebelum ini. – HARAKAHDAILY 23/6/2023

- Advertisement -