
KOTA BHARU: Usaha untuk mewujudkan Muafakat Nasional (MN) selepas Umno dan Barisan Nasional (BN) kecundang pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 terbantut kerana pemimpin utama Umno ada agenda peribadi.
Bekas Pengerusi Umno Selangor Tan Sri Noh Omar berkata, usaha itu bermula dengan Perhimpunan AntiKonvensyen Antarabangsa Penghapusan Diskriminasi Kaum (ICERD) di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 8 Disember 2018.
Katanya perhimpunan terbabit menyatukan PAS yang memperjuangkan Islam dan Umno dengan semangat Melayu bagi membantah cadangan kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk meratifikkasi ICERD.
“Saya cukup terharu apabila bercakap mengenai MN kerana ia berjaya menyatukan semula Umno dan PAS yang sudah lama berseteru,” katanya pada program Sembang Santai sempena karnival Kelantan Maju di Dataran Warisan malam tadi. (Foto atas)
Kata beliau juga semangat MN kemudian digerakkan pada beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) di Selangor yang bermula di Sungai Kandis.
Menurutnya Umno dan PAS bekerjasama sama pada PRK tersebut bagi menghadapi Pakatan Harapan (PH).
Beliau berkata hasil kerjasama itu membolehkan BN menang pada PRK Dun Semenyih biarpun pada PRU ke-14 PH menang dengan majoriti lebih 10,000 di Dun terbabit.
“Kerana MN juga saya pernah dihalau keluar oleh Timbalan Speaker Dewan Rakyat daripada DAP kerana membantah kenyataannya kerana menggambarkan kerjasama Umno dan PAS sebagai Taliban,” ujarnya.
Beliau juga mendakwa penempatan seluas 4,000 ekar yang diteroka rakyat di Selangor sejak lebih 40 tahun lalu akhirnya diserah kerajaan negeri diserah kepada agensi kerajaan, menyebabkan penduduk di situ dihalau keluar.
Kata beliau situasi itu jauh berbeza dengan Kelantan apabila memberi lebih 120,000 geran hak milik tanah kepada rakyat.
“Usaha kerajaan Kelantan itu cukup penting bagi memastikan rakyat ada hak milik tanah mereka sendiri,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 23/6/2023




















