
GUA MUSANG: Kerajaan negeri hampir menyelesaikan masalah berkaitan tanah di Gua Musang apabila menyerahkan sebanyak 254 geran hak milik yang membabitkan pelbagai hak milik.
Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata daripada jumlah itu, seramai 147 merupakan individu manakala bakinya peneroka Felda.
Menurutnya, sebelum ini kerajaan negeri meluluskan sebanyak 26,866 hak milik dan masih ada lagi permohonan dalam proses untuk menunggu kelulusan.
“Ada lebih kurang 1,000 lebih permohonan, insya-Allah kita akan cuba selesai secepat mungkin, kalau dokumen permohonan sudah lengkap, kita tunggu diangkat kepada Exco.
“Mesyuarat Exco diadakan dua minggu sekali, dan apabila naik kertas permohonan geran tiga keputusan sama ada setuju atau tolak atau tangguh,” katanya pada majlis Penyerahan Hak Milik Tanah di Dataran Gua Chiku 2 di sini semalam.
Turut hadir ialah Ahli Parlimen Gua Musang Mohd Azizi Abu Naim; Pengarah Jabatan Tanah dan Galian, Dato’ Sr Zamri Ismail; dan Ketua Jajahan Gua Musang, Abdul Fattah Hasbullah.
Mohd Amar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Pembangunan Wilayah, Kesejahteraan Rakyat dan Integriti berkata, kerajaan negeri sentiasa prihatin terhadap masalah pemilikan tanah.
Sementelah, polisi tersebut sudah dilaksanakan sejak era awal pemerintahan PAS di Kelantan di bawah almarhum Tuan Guru Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat. – HARAKAHDAILY 16/6/2023




















