
KANGAR: Keputusan kerajaan Perlis menghentikan kelulusan lesen premis perjudian adalah selaras dengan komitmen parti yang tegas mengharamkan judi.
Ketua Dewan Muslimat PAS Perlis, Nor Shahirah Mat Salleh berkata, ini bertepatan dengan syariat Islam yang mengharamkan aktiviti itu.
“Dewan Muslimat PAS Perlis merakamkan ucapan tahniah buat kerajaan negeri Perlis atas keputusan menghentikan kelulusan lesen premis perjudian di negeri ini.
“Keputusan itu selaras dengan komitmen parti yang tegas mengharamkan judi serta selari dengan langkah kerajaan Kedah, Kelantan dan Terengganu yang turut mengharamkan industri itu,” katanya di sini, hari ini.
Sejak peringkat awal mengetuai kerajaan PERIKATAN NASIONAL (PN) negeri, Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli konsisten dengan keputusan untuk menghentikan operasi premis perjudian dan bukan langkah tergesa-gesa.
Perlis mempunyai enam premis perjudian dan lesen bagi pengusaha untuk menjalankan operasi tersebut dijadualkan tamat tempoh pada Mac 2024.
Selepas tempoh itu tamat, tiada mana-mana lagi pengusaha premis judi akan diberikan kelulusan meneruskan operasi dan selaras dengan dasar baharu kerajaan negeri ini.
Selain itu, dalam usaha membasmi aktiviti judi di Perlis secara menyeluruh, kedai judi dan nombor ekor haram termasuk secara dalam talian akan dipantau secara habis-habisan. – HARAKAHDAILY 16/6/2023











