Serangan udara, tembakan meriam memuncak di Sudan

Asap hitam dan api yang marak kelihatan dari kawasan pasar di Omdurman selepas pertempuran semula antara tentera Sudan dan Pasukan Sokongan Pantas (RSF) pada Selasa, 16 Mei 2023. (FOTO: REUTERS)
- Advertisement -

KHARTOUM: Serangan udara dan tembakan meriam memuncak dan meningkat dengan  mendadak di seluruh ibu negara Sudan pada Selasa  ketika pihak tentera berusaha mempertahankan pangkalannya daripada saingan puak separa tentera, Pasukan Sokongan Pantas (RSF) dalam pertempuran selama lebih sebulan.

Serangan udara, letupan dan pertempuran boleh didengari di selatan Khartoum, dan terdapat tembakan hebat di seberang Sungai Nil di bahagian bandar bersebelahan Bahri dan Omdurman, lapor Arab News memetik laporan Reuters.

Konflik perang antara tentera dan RSF bermula 15 April 2023 itu turut telah mencetuskan kekacauan di lokasi lain di Sudan, terutamanya di wilayah barat Darfur, tetapi tertumpu di Khartoum.

Ia telah menyebabkan krisis kemanusiaan yang mengancam untuk menjejaskan kestabilan rantau ini, menyebabkan lebih 700,000 orang kehilangan tempat tinggal di Sudan dan memaksa kira-kira 200,000 melarikan diri ke negara jiran.

- Advertisement -

Kebanyakan mangsa yang melarikan diri dari Sudan telah menuju ke utara ke Mesir atau barat ke Chad, yang bersempadan dengan Darfur. Sementara, mangsa yang lain telah menuju ke Pelabuhan Sudan di Laut Merah, dengan harapan dapat menaiki kapal ke Arab Saudi.

“Kami datang dari medan peperangan. Kami kehilangan ahli keluarga, rumah kami musnah,” kata Reem, seorang pelajar yang berkhemah dalam panas terik di Pelabuhan Sudan bersama-sama ratusan mangsa yang lain. 

Penduduk yang tinggal di Khartoum pula sedang bergelut untuk bertahan apabila bekalan makanan semakin berkurangan, perkhidmatan kesihatan runtuh dan pelanggaran undang-undang semakin merebak.

Rangkaian kemanusiaan IFRC berkata, kira-kira 9 juta penduduk tinggal berdekatan dengan medan pertempuran dan dalam kesusahan yang teruk, dan memetik laporan peningkatan keganasan seksual terhadap orang ramai yang sedang bergerak ketika ia melancarkan rayuan pengumpulan dana AS$33 juta.

Angka kematian cecah 822

Kerajaan Sudan sebelum ini telah merekodkan 676 kematian dan lebih 5,500 kecederaan, tetapi angka sebenar dijangka jauh lebih tinggi dengan banyak laporan mayat ditinggalkan di jalanan dan orang ramai bergelut untuk mengebumikan mayat.

Namun pertubuhan Sindiket Doktor Sudan menurut laporan The New Arab mengumumkan pada pagi Selasa (16 Mei) bahawa jumlah korban awam akibat pertempuran di negara itu telah meningkat kepada 822 orang.

Rakyat Sudan yang melarikan diri dari konflik perang di wilayah Darfur dirakam berhampiran tempat perlindungan sementara di sempadan antara Sudan dan Chad untuk mendapatkan perlindungan di Borota, Chad pada 13 Mei 2023. (FOTO: REUTERS/Zohra Bensemra)

“Keadaan kini  tidak tertanggung. Kami meninggalkan rumah kami untuk pergi ke rumah jiran di Khartoum, melarikan diri daripada perang, tetapi pengeboman itu mengikuti kami ke mana sahaja kami pergi,” kata seorang penduduk Khartoum berusia 32 tahun, Ayman Hassan.

“Kami tidak tahu apa yang rakyat lakukan sehingga layak berperang di tengah-tengah rumah,” keluhnya.

Pertempuran meningkat di Khartoum dan di Geneina, ibu kota Darfur Barat, sejak kedua-dua pihak yang bertelagah itu memulakan perbincangan di Jeddah yang diuruskan oleh Arab Saudi dan Amerika Syarikat lebih seminggu lalu.

Rundingan itu telah menghasilkan pernyataan prinsip untuk melindungi orang awam dan membenarkan bekalan bantuan, tetapi mekanisme untuk koridor kemanusiaan dan bersetuju gencatan senjata masih dibincangkan.

Kedua-dua pihak sebelum ini telah mengumumkan beberapa gencatan senjata, tiada satu pun yang menghentikan pertempuran.

Tentera terutamanya menggunakan serangan udara dan tembakan kerana ia bertujuan untuk menolak pasukan RSF dari kedudukan di seluruh Khartoum.

Ia telah menuduh RSF menggunakan pegawai tentera yang ditangkap dan keluarga mereka sebagai perisai manusia, sesuatu yang dinafikan oleh RSF.

Penduduk menaiki sebuah bas mini ketika arahan mengosongkan kawasan selatan Khartoum di Sudan pada 14 Mei 2023. (FOTO: AP)

RSF pula menyerang pangkalan tentera utama di utara Omdurman dan selatan Khartoum pada hari Selasa dalam usaha nyata untuk menghalang tentera daripada mengerahkan senjata berat dan jet pejuang, kata penduduk dan saksi.

RSF juga mendakwa  ia telah menangkap beratus-ratus tentera tentera di Bahri, mengeluarkan rakaman barisan lelaki berseragam dalam keadaan duduk, yang bagaimanapun belum dapat disahkan Reuters, memandangkan pihak tentera Sudan menafikannya.

RSF tahan Anas Omer

Dalam pada itu, tentera telah cuba untuk memutuskan talian bekalan RSF dan untuk mendapatkan tapak strategik termasuk lapangan terbang di tengah Khartoum dan kilang penapisan minyak utama Al-Jaili di Bahri, di mana pertempuran berlaku semula pada hari Selasa.

“Pasukan RSF  sebaliknya dilaporkan telah menahan Anas Omer, seorang anggota kanan parti pemerintah yang lantang bersuara di bawah bekas pemimpin Omar Al-Bashir yang digulingkan, dari rumahnya di Khartoum,” kata anak lelaki Omer kepada Reuters.

Sebuah masjid terjejas akibat pertempuran di Darfur, Sudan pada 14 Mei 2023. (FOTO: Twitter/@DNforHR)

Terdahulu, RSF telah menuduh tentera bekerja dengan penyokong setia rejim bekas, satu tuduhan yang dinafikan tentera.

Peperangan bermula selepas pertikaian mengenai rancangan untuk RSF menyertai tentera dan rantaian perintah masa depan di bawah perjanjian yang disokong antarabangsa untuk peralihan politik ke arah pemerintahan awam dan pilihan raya.

Ketua tentera, Jeneral Abdel Fattah Al-Burhan dan komander RSF Mohamed Hamdan Dagalo, dikenali sebagai Hemedti, mengambil jawatan tertinggi dalam majlis pemerintah Sudan berikutan penggulingan Bashir pada 2019 semasa pemberontakan rakyat.

Mereka melakukan rampasan kuasa dua tahun kemudian ketika tarikh akhir untuk menyerahkan kuasa kepada orang awam semakin hampir, mula menggerakkan pasukan masing-masing ketika pengantara cuba memuktamadkan rancangan peralihan.

Kedua-dua pihak mendapat sokongan asing dari negara serantau yang tertarik dengan kekayaan mineral dan pertanian Sudan, dan lokasinya yang strategik antara Sahel dan Teluk Arab. – HARAKAHDAILY 17/5/2023

- Advertisement -