
LYON: Interpol telah melancarkan Operasi Identify Me untuk mengenal pasti mayat 22 wanita yang ditemui di Belanda, Belgium dan Jerman.
Mayat kesemua wanita itu ditemui di tiga negara yang mengambil bahagian di bawah operasi berkenaan selama beberapa tahun.
Siapa mereka, dari mana mereka berasal dan mengapa mayat mereka ditemui di lokasi yang berbeza masih tidak diketahui, lapor Euronews.
Tambah laporan itu, sebahagiannya mungkin kerana ada dalam kalangan wanita yang meninggal dunia itu berkemungkinan berasal dari negara selain tempat mereka ditemui, menyebabkan identiti mereka masih belum dapat dipastikan.
Kemungkinan mayat mereka ditinggalkan di tempat mereka ditemui untuk menyukarkan siasatan jenayah, yang mana mangsa dikebumikan di kubur sementara.
Sesetengah wanita dianggap berasal dari kawasan tertentu di Eropah Timur, tetapi dalam kes lain, semua pilihan tetap terbuka.
Langkah menetapkan identiti mangsa adalah setapak untuk mengenal pasti dan boleh membawa kepada penahanan suspek.
Bagaimanapun, fokus utama operasi berkenaan adalah untuk mengenal pasti identiti mangsa, yang menyaksikan bahawa DNA boleh didapati daripada kebanyakan mangsa supaya identiti mereka boleh ditentukan melalui perbandingan, jika perlu.
Selama bertahun-tahun, Interpol telah memainkan peranan penting dalam memudahkan pertukaran maklumat mengenai jenazah manusia yang tidak dikenali antara organisasi polis melalui apa yang dilabelkan sebagai ‘Notis Hitam’.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat peningkatan dalam bilangan individu yang dilaporkan hilang di luar sempadan negara mereka, akibat peningkatan migrasi global atau pemerdagangan manusia.
Golongan wanita terjejas secara tidak seimbang oleh keganasan berasaskan jantina, termasuk keganasan rumah tangga, serangan seksual dan pemerdagangan.
Oleh itu, operasi ini bertujuan untuk mengembalikan nama mereka kepada wanita ini yang menyaksikan sokongan daripada selebriti wanita terkenal dari negara yang mengambil bahagian, antaranya pelakon, Carice van Houten dan Veerle Baetens, penyanyi S10, Axelle Red, juara tinju, Regina Halmich dan wartawan sukan Katrin Müller-Hohenstein.
Muncul menerusi video dalam talian, selebriti berkenaan merayu orang ramai untuk melaporkan jika mengetahui maklumat tentang wanita-wanita yang mati dibunuh. – HARAKAHDAILY 10/5/2023




















