Imran Khan ditahan: Protes besar-besaran di Pakistan

Penunjuk perasaan di Peshawar membakar premis Radio Pakistan sebagai protes terhadap penahanan bekas Perdana Menteri, Imran Khan. (FOTO: BBC)
- Advertisement -

LAHORE: Pertempuran ganas telah berlaku di Pakistan antara pasukan keselamatan dan penyokong bekas perdana menteri Imran Khan selepas dia ditangkap pada Selasa (8 Mei).

Protes meletus di seluruh negara itu, dan sekurang-kurangnya seorang dilaporkan telah terbunuh di bandar Quetta.

Khan telah ditangkap oleh pasukan keselamatan di Mahkamah Tinggi di ibu negara, ketika  hadir untuk perbicaraan atas tuduhan rasuah, yang menurutnya bermotif politik, dengan rakaman video menunjukkan detik penuh dramatik menyaksikan berpuluh-puluh pegawai polis menahan lelaki berusia 70 tahun itu, yang diikat sebelum dihumban ke dalam kenderaan, lapor BBC.

- Advertisement -

Pada petang Selasa (8 Mei), penyokong Khan berkumpul di luar Suruhanjaya Tinggi Pakistan di London untuk membantah penahanannya itu.

Sementara rakaman video dari Lahore yang disiarkan di Twitter kelihatan menunjukkan orang ramai memecah masuk ke dalam rumah komander kor tentera memusnahkan perabot dan barang-barang di dalamnya.

Satu kenyataan daripada ketua polis Punjab berkata penahanan Khan telah diarahkan atas tuduhn melakukan ‘rasuah dan amalan rasuah’.

Kes itu membabitkan dakwaan mengenai pemberian tanah dalam apa yang dipanggil sebagai Amanah Al-Qadir, dikatakan dimiliki oleh Khan dan isterinya, lapor akhbar Dawn.

Sementara bercakap kepada BBC Newshour, jurucakap Khan, Raoof Hasan, berkata beliau menjangkakan ‘kejadian yang paling teruk’ dan penahanan itu boleh menjerumuskan negara ‘dalam huru-hara dan anarki’ di Pakistan.

“Kami (Pakistan) sedang menghadapi pelbagai krisis. Terdapat krisis ekonomi, politik dan kos krisis sara hidup; yang akibatnya peristiwa ini akan menjadi katarsis bagi mereka untuk melangkah keluar dan saya bimbang keganasan akan kembali berlaku,” katanya.

Rakaman video menunjukkan berpuluh-puluh pegawai polis menangkap Imran Khan sebelum dihumban ke dalam sebuah kenderaan. (FOTO: Video Reuters)

Seorang anggota pasukan undang-undang Khan, Raja Mateen, berkata kekerasan yang tidak wajar telah digunakan terhadap Khan di mahkamah.

“Imran Khan pergi ke pejabat biometrik kerana ada urusan tertentu. Renjer pergi ke sana, mereka memecahkan tingkap, mereka memukul kepalanya dengan baton,” kata Mateen.

Sehubungan itu, Parti Tehreek-e-Insaf (PTI) Pakistan pimpinan Khan menyeru penyokongnya untuk berterusan melakukan bantahan. 

Beberapa jam selepas beliau ditahan, keganasan dilaporkan dari bandar-bandar termasuk Lahore, Karachi dan Peshawar.

Sehubungan itu, di jalan-jalan raya sekitar Islamabad, ratusan penunjuk perasaan menyekat salah satu lebuh raya utama masuk dan keluar dari ibu negara.

Dua penyokong tegar memegang poster Imran Khan berlatarbelakang beberapa buah motosikal yang hangus terbakar. (FOTO: ABC News)

Orang ramai menurunkan papan tanda jalan dan bahagian jejantas, menyalakan api dan membaling batu, yang menyaksikan penunjuk perasaan berkata mereka marah dengan penahanan Khan itu.

“Biarlah huru-hara. Jika tidak ada Imran, tidak ada apa-apa lagi di Pakistan. Tiada siapa di sini (Pakistan) yang mampu untuk mengambil alih kepimpinan beliau,” ujar seorang penunjuk perasaan, Farida Roedad.

Menulis di media sosial, polis di Islamabad berkata lima pegawai polis telah cedera dan 43 penunjuk perasaan ditahan.

Ia berkata sekurang-kurangnya 10 orang, termasuk enam pegawai polis, telah cedera di bandar barat daya Quetta dalam pertempuran antara penyokong Khan dan pasukan keselamatan; dengan seorang penunjuk perasaan terbunuh.

Terdahulu, Khan telah digulingkan sebagai Perdana Menteri  pada April tahun lalu dan sejak itu, beliau sejak itu telah berkempen agar pilihan raya awal diadakan di Pakistan. – HARAKAHDAILY 10/5/2023

- Advertisement -