
GENEVA: Sekurang-kurangnya 152 juta bayi yang dilahirkan pramatang dari 2010 hingga 2020, menyaksikan 1 daripada setiap 10 bayi baru lahir adalah pramatang, manakala 1 daripada mereka mati setiap 40 saat.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam laporan terbaharu yang dikeluarkan pada Rabu (10 Mei) berkata, kelahiran pramatang adalah penyebab terbesar kematian kanak-kanak, menyumbang lebih daripada satu perlima daripada semua kematian kanak-kanak di bawah umur lima tahun, lapor Anadolu Agency.
“Bayi yang hidup selepas dilahirkan secara pramatang mungkin mengalami kesan kesihatan jangka panjang, termasuk risiko kecacatan dan kelewatan perkembangan yang lebih besar,” ujar laporan itu.
Berdasarkan angka tahun 2020, laporan itu berkata dianggarkan 13.4 juta bayi dilahirkan pramatang pada tahun itu sahaja dengan kira-kira 1 juta maut akibat dilahirkan pramatang.
“Ia bersamaan dengan kira-kira satu dalam setiap 10 bayi yang dilahirkan secara pramatang (sebelum 37 minggu kehamilan) di seluruh dunia,” kata laporan itu.
Menurut laporan berkenaan, hanya satu daripada 10 bayi yang sangat pramatang, di bawah 28 minggu kehamilan, mampu bertahan hayatnya di negara-negara berpendapatan rendah, berbanding lebih sembilan daripada 10 di negara berpendapatan tinggi.
“Terlalu kerap, tempat (negara) bayi dilahirkan menentukan sama ada mereka mampu bertahan untuk hidup,” tambah laporan itu.
Laporan tersebut juga menekankan bahawa Asia Selatan dan sub-Sahara Afrika mempunyai kadar kelahiran pramatang tertinggi, dan bayi pramatang di kawasan ini menghadapi risiko kematian tertinggi.
Kedua-dua wilayah ini menyumbang lebih daripada 65 peratus kelahiran pramatang di seluruh dunia.
Penyelidikan WHO itu juga menggariskan bagaimana konflik, perubahan iklim, kemusnahan alam sekitar, pandemik Covid-19 dan kos sara hidup yang semakin meningkat menimbulkan ancaman baharu kepada wanita dan bayi di seluruh dunia.
Ketua bersama laporan WHO itu, Dr Joy Lawn dari London School of Hygiene and Tropical Medicine, menekankan bahawa pelaburan yang lebih besar boleh menyelamatkan berjuta-juta bayi yang terdedah kepada risiko kelahiran pramatang.
“Pelaburan yang lebih besar dalam penjagaan bayi baru lahir yang terdedah kepada risiko kesihatan boleh menyelamatkan berjuta-juta keluarga daripada patah hati.
“Lebih banyak usaha juga diperlukan untuk mencegah kelahiran bayi pramatang, yang juga akan meningkatkan kemajuan dalam mengurangkan kelahiran bayi mati dan kematian ibu yang melahirkan bayi,” kata Lawn.
“Bersama-sama landasan berkembar pencegahan dan penjagaan pramatang ini akan menghasilkan individu dan masyarakat yang lebih sihat untuk menambahkan pembangunan ekonomi dan sosial.
“Generasi akan datang bergantung kepada kita semua bertindak sekarang, pelaburan mungkin tidak kecil tetapi pulangan pelaburan ini akan menjadi besar bagi setiap negara,” tambahnya.
Sementara seorang lagi pengarang bersama laporan it, Dr Nahya Salim menegaskan bahawa tiada alasan untuk berdiam diri mengenai perkara itu.
“Kami kini mempunyai peranti dan pengetahuan untuk cuba mengubah nasib bayi baru lahir yang paling terdedah kepada kematian akibat kelahiran pramatang,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/5/2023




















